Usaha kecil saiz sektor awam perlu teliti
Beberapa hari lalu, viral satu pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai keputusan kerajaan mengawal saiz perkhidmatan awam. Ia menegaskan komitmen Ketua Setiausaha Negara melaksanakan keputusan itu bermula dengan pengurangan satu peratus perjawatan tahun ini.
Susulan itu heboh kononnya ia akan membabitkan pemberhentian penjawat awam sedia ada. Namun, Belalang lega apabila JPA semalam menjelaskan ia cuma membabit perjawatan tidak diisi dan bukan kakitangan sedia ada.
Apapun dalam perkara membabitkan kepentingan awam sebegini, Belalang rasa elok jika pihak berkaitan mengumum dan menjelaskan kepada umum sebaik keputusan dibuat dan bukan menunggu ia viral dan diputarbelit baru dijelaskan.
Belalang juga berharap dalam mengecilkan saiz perkhidmatan awam ini, lakukan dengan teliti dan jangan semata-mata memenuhi dasar supaya mutu perkhidmatan tidak terjejas dan peluang kerja generasi muda kita terjamin.