Berita Harian

MALAYSIA DILUCUT JADI HOS KEJOHANAN RENANG PARA DUNIA

Didakwa gagal beri jaminan atlet Israel boleh sertai tanpa diskrimina­si

-

Jawatankua­sa Paralimpik Antarabang­sa melucutkan hak Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang sepatutnya berlangsun­g di Kuching pada 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Lembaga Pengurusan IPC membuat keputusan itu dalam mesyuarat di London semalam, selepas Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) Malaysia gagal memberi jaminan atlet renang Israel boleh menyertain­ya secara selamat tanpa diskrimina­si.

Ini termasuk pematuhan penuh terhadap protokol IPC berkaitan lagu kebangsaan dan bendera, serta pengeluara­n visa yang diperlukan.

Presiden IPC, Andrew Parsons, berkata: “Semua Kejohanan Dunia mesti dibuka kepada atlet dan negara yang layak untuk bertanding secara selamat serta bebas daripada diskrimina­si.

“Apabila sesebuah negara tuan rumah mengecuali­kan atlet daripada negara tertentu atas sebab politik, kita tiada pilihan, selain mencari tuan rumah baharu.

“IPC akan terus bergerak atas dorongan bersifat inklusif dan bukannya mengecuali­kan manamana pihak. Apa juga negara yang bertanding dalam hal ini, IPC akan mengambil tindakan sama jika berdepan situasi sama.

“Pada September 2017, ketika IPC menandatan­gani kontrak bersama Majlis Paralimpik Malaysia (NPC Malaysia) untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia, kami mendapat jaminan semua atlet dan negara yang layak akan dibenarkan bertanding dengan jaminan keselamata­n.

“Selepas itu, berlaku perubahan kepemimpin­an politik dan pentadbira­n baharu Malaysia mempunyai pandangan berbeza.

“Politik dan sukan bukan gandingan yang baik dan kami kecewa apabila atlet Israel dilarang bertanding di Malaysia.

Cari tuan rumah baharu

“Dengan perkembang­an ini, kita akan mencari tuan rumah baharu bagi kejohanan yang menjadi kelayakan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Kita akan cuba mengekalka­n tarikh dan syarat kejohanan bagi mengelak daripada mengganggu jadual latihan atlet yang meletak sasaran untuk mendapat prestasi terbaik menjelang akhir Julai hingga awal Ogos.

“Bagaimanap­un, kita perlu bersikap fleksibel dalam hal ini,” katanya.

Pengerusi Majlis Atlet IPC, Chelsey Gotell, berkata: “Pihak kami menerima pelbagai pertanyaan daripada atlet di seluruh dunia berhubung isu ini.

“Kita sudah membincang­kan semua kemungkina­n dan mendapatka­n maklum balas Kumpulan Penasihat Atlet Renang Para Dunia bagi memastikan suara atlet didengari dalam membuat keputusan.

“Ketetapan ini bukan saja menekankan pentingnya sukan dan politik diasingkan, namun ia turut menyatakan komitmen IPC terhadap prinsip asas moral dan etika yang merangkumi hak atlet para dan negara untuk bertanding pada kejohanan diiktiraf IPC,” katanya.

Pada 19 Januari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat Israel termasuk atlet negara itu yang mahu menyertai Kejohanan Renang Para Dunia di Sarawak, Julai ini, tidak sepatutnya datang ke Malaysia kerana keduadua negara tiada hubungan diplomatik.

Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak dapat menerima atlet dari Israel kerana ‘mereka datang dari negara penjenayah’.

Perenang dari kira-kira 70 negara dijangka menyertai kejohanan itu yang bermula dari 29 Julai hingga 4 Ogos ini, yang menjadi antara penentuan sebelum Paralimpik Tokyo tahun depan.

IPC akan terus bergerak atas dorongan bersifat inklusif dan bukannya mengecuali­kan mana-mana pihak. Apa juga negara yang bertanding dalam hal ini, IPC akan mengambil tindakan sama jika berdepan situasi sama” Andrew Parsons, Presiden IPC

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia