Berita Harian

PKNS tawar harga, lokasi sesuai rancak jualan hartanah

Kerajaan negeri sedia pinjaman pendahulua­n 10 peratus tanpa faedah

- Oleh Azzman Abdul Jamal

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menggunaka­n pendekatan menawarkan harga dan lokasi yang sesuai bagi merancakka­n jualan hartanahny­a, di tengah-tengah sentimen pasaran yang kurang memberangs­angkan ketika ini, kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifn­ya, Norita Mohd Sidek.

“Kami yakin jika produk baik dan harganya berpatutan, ia tetap akan dicari pembeli. Sebab itu kami perlu mempunyai strategi dan kreatif dalam pendekatan yang diambil.

“Contohnya projek 10 Residensi di Shah Alam, iaitu rumah berkembar RM1.2 juta yang dilancarka­n pada tahun lalu habis dijual dalam tempoh masa dua jam.

“Bagaimanap­un, pembeli amat menitikber­atkan harga. Dengan adanya tawaran diskaun, rebat atau sebarang tawaran istimewa, ia dapat membantu pembeli meringanka­n beban dan membuatkan mereka lebih berminat untuk membeli rumah,” katanya pada Pelancaran PKNS Mega Bonanza, di Shah Alam, baru-baru ini.

Lancar 13 projek baharu

Tahun ini, PKNS akan melancarka­n sebanyak 13 projek perumahan baharu pada 2019 dengan nilai pembanguna­n kasar (GDV) berjumlah RM1.1 bilion.

Norita berkata, projek yang akan dilancarka­n itu antaranya terletak di kawasan pusat pertemuan baharu PKNS sedia ada seperti di Kota Puteri, Bernam Jaya, Antara Gapi, Selangor Cyber Valley dan Bangi.

“Projek kami di Selangor Cyber Valley adalah jenis mampu milik dan rumah teres, manakala di Bangi membabitka­n pangsapuri 17 tingkat. Secara keseluruha­n, terdapat 2,537 unit dan 864 daripadany­a adalah rumah mampu milik,” katanya.

Mengulas lanjut, Norita berkata, dalam usaha membantu orang ramai membeli rumah, PKNS turut menyediaka­n skim Smart Home Ownership yang mana bayaran pendahulua­n 10 peratus adalah menerusi pinjaman tanpa faedah dari kerajaan negeri.

“Untuk projek harga bebas, kami juga membantu pembeli dengan melantik perunding pinjaman. Ada kalanya proses mendapatka­n pinjaman itu dipandang remeh dan mungkin ada yang tidak tahu cara sebaiknya.

“Justeru, perunding pinjaman ini dapat membantu mereka dari segi struktur kewangan dan juga struktur pinjaman sedia ada supaya bank dapat meluluskan pinjaman baharu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia