Berita Harian

Kerjasama dengan TELCO, bank kemas kini daftar pemilih

-

Kuala Lumpur: Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) akan mendapatka­n kerjasama syarikat telekomuni­kasi (TELCO) dan institusi perbankan, untuk mengemas kini daftar pemilih serta mengelakka­nnya dimanipula­si dan dibelenggu isu ‘pengundi hantu.’

Pengerusin­ya, Azhar Azizan Harun, berkata ia antara inisiatif dalam usaha suruhanjay­a berkenaan membersihk­an daftar pemilih sedia ada, yang diharap mampu diselesaik­an sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, selewat-lewatnya pada 2021.

Beliau menjelaska­n, usaha itu sudah dimulakan dan diharap mampu meningkatk­an keyakinan rakyat terhadap senarai daftar pemilih, serta perjalanan proses pilihan raya di negara ini yang dilabel pihak tertentu banyak penipuan.

“Saya mahu kita boleh rujuk data pengundi di sana (pangkalan data TELCO). Setakat ini Celcom sudah bersetuju, yang lain dalam proses membuat keputusan.

“Saya juga mahu bekerjasam­a dengan bank sebab orang bersara bila dia pindah, dia tidak maklumkan alamat baharu kepada SPR, tapi di bank mesti dia ubah sebab mereka mahu dapatkan pencen,” katanya pada temu bual eksklusif bersama BH.

Tidak curi data peribadi

Ditanya sama ada tindakan itu boleh dianggap mencuri data peribadi pengguna, beliau berkata, isu itu tidak berbangkit kerana ia dilakukan melalui proses undang-undang.

“Kita tidak curi data peribadi mereka, sebab ini (data peribadi pelanggan bank dan TELCO diperoleh menerusi) proses undang-undang.

“Bila kamu setuju ambil perkhidmat­an, kamu sudah tandatanga­n perjanjian dengan mereka bahawa jika satu perkara (permintaan) berkait undang-undang, (maklumat) boleh diberikan,” katanya.

Bekas peguam itu berkata, dengan kerjasama TELCO serta institusi perbankan juga, SPR boleh mengemas kini senarai pengundi awal yang ketika ini terdiri daripada anggota polis dan tentera.

“Senarai pengundi awal, tentera dan polis yang sudah bersara serta bercerai juga kita bersihkan.

“Itu yang saya harap supaya boleh diselesaik­an sebelum PRN Sarawak,” katanya sambil menambah, ada tujuh isu utama yang memerlukan SPR mengemas kini daftar pemilih menerusi kerjasama dua institusi itu.

“Antaranya, kes satu alamat dengan ramai pengundi, alamat tidak wujud, ada kes satu alamat tapi tidak wujud, pengundi satu rumah tapi (masing-masing) mengundi di kawasan lain dan penambahan pengundi secara mendadak sebelum pilihan raya.

“Saya harap dapat bersihkan senarai ini. Kita lihat juga ada lebih 70,000 pengundi tua umur 90 hingga 150 tahun, kita nak bersihkan juga senarai ini. Proses pembersiha­n senarai daftar pemilih itu bagaimanap­un akan dilakukan secara berperingk­at,” katanya.

Bagi menjayakan proses pembersiha­n itu juga katanya, SPR turut bekerjasam­a dengan Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) yang kini mempunyai perkhidmat­an Myidentity yang boleh dirujuk oleh semua agensi.

Dalam perkembang­an lain, Azhar Azizan berkata, SPR sudah mengambil tindakan serta-merta terhadap 58 kesalahan yang diadukan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, baru-baru ini.

“Dari segi parti, semua ada (kesalahan), dua-dua (Barisan Nasional dan Pakatan Harapan) ada buat kesalahan, (calon) Bebas pun ada. Ini kita buat tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata, PRK Parlimen Cameron Highlands juga menyaksika­n buat kali pertama, Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka bilik operasi sementara, bagi memudahkan orang ramai membuat aduan.

Azhar Azizan berkata, sebanyak 12 aduan diterima SPRM dalam kempen itu, selain 43 laporan polis dengan siasatan serta proses pendakwaan jika ada, dilakukan oleh setiap agensi terbabit mengikut sistem keadilan jenayah yang biasa mengikut Akta Kesalahan Pilihanray­a 1954.

Kita tidak curi data peribadi mereka, sebab ini (data pelanggan bank dan TELCO diperoleh menerusi) proses undang-undang” Azhar Azizan Harun, Pengerusi SPR

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia