Berita Harian

Rapat jurang miskin kaya

Kerajaan terus berusaha rapatkan hubungan miskin dan kaya supaya kekayaan negara dapat diagih bersama. Jangan samakan identiti kaum dengan kaya atau miskin”

- Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri

Kerajaan akan berusaha merapatkan jurang antara golongan miskin dan kaya bagi memastikan kedua-dua golongan itu tidak lagi dirujuk kepada kaum tertentu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, negara boleh berada dalam keadaan malapetaka jika perbezaan antara golongan miskin dan kaya di negara ini menjadi semakin besar.

Sebaliknya, beliau berkata, negara akan lebih maju sekiranya kekayaan dapat dikongsi secara adil antara semua kaum, dan perbezaan pendapatan dapat diatasi dengan baik.

“Jangan samakan identiti kaum dengan yang kaya atau miskin kerana ia hanya akan menggalakk­an perpecahan yang memberi impak kepada negara.

“Saya yakin di Pulau Pinang juga ada usaha untuk merapatkan jurang antara kaum dan kekayaan itu termasuk antara penduduk di bahagian pulau dan seberang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaik­an ucaptama pada Majlis Perhimpuna­n Perdana Perpaduan 2019 sempena sambutan Hari Perpaduan Negeri dan Ulang Tahun Majlis Perundinga­n Muhibah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP) Ke-15 di sini, semalam.

Sambutan bertemakan ‘Perpaduan dalam Kepelbagai­an’ itu turut dihadiri, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Pengerusi MPMNPP, Tan Sri Yussof Latiff.

Perpaduan kaum faktor utama capai negara maju

Dr Mahathir berkata, keamanan dan perpaduan kaum akan menjadi faktor utama kepada cita-cita negara untuk mencapai status negara maju pada 2025.

Katanya, walaupun cita-cita berkenaan agak terlewat berbanding sasaran menjadi negara maju pada 2020 sebelum ini, ia lebih baik berbanding tiada matlamat langsung.

“Kerana itu, saya gembira usaha seperti majlis ini diadakan bukan atas dasar serta perpisahan politik dan semua kaum turut hadir. Saya harap keamanan dan perpaduan ini dapat dikekalkan bagi memastikan negara menjadi lebih maju dan sejahtera,” katanya.

Perdana Menteri turut mengingatk­an rakyat supaya sentiasa bersyukur dengan keamanan dan keselamata­n yang dinikmati sekarang, terutama selepas tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Katanya, Malaysia adalah antara negara yang unik kerana berjaya menyelesai­kan masalah perkauman dalam tempoh singkat, berbanding negara berbilang etnik lain.

“Biasanya bila berlaku rusuhan kaum dalam sesebuah negara ia akan berpanjang­an dan sukar diselesaik­an, tetapi pemimpin berbilang bangsa kita berjaya selesaikan.

“Malah, ia tamat dalam tempoh yang singkat. Ekoran peristiwa itu juga, tertubuhny­a kerajaan campuran daripada semua kaum dan etnik termasuk di Sabah dan Sarawak, supaya perpaduan dapat diperhebat­kan lagi,” katanya.

MPMNPP yang ditubuhkan pada 2004, dianggotai 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pulau Pinang, yang mewakili etnik dan kaum masing-masing.

Ia ditubuhkan dengan tiga tonggak utama iaitu kontrak sosial yang disepakati, menuruti rukun negara dan menghormat­i Perlembaga­an.

Sementara itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata parti itu belum membuat keputusan untuk melebarkan sayap ke Sabah.

Katanya, perkara itu perlu dibincangk­an pada peringkat pimpinan tertinggi terlebih dahulu.

“Kita buat keputusan dalam mesyuarat. Kita adakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi dulu (sebelum membuat apa-apa keputusan melebarkan sayap ke Sabah),” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman, Datuk Hajiji Noor bahawa BERSATU akan melebarkan sayapnya ke Sabah tidak lama lagi,

Susulan itu, Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berkata perkara itu diharapkan tidak berlaku memandangk­an Warisan dan Bersatu sudah mencapai kesepakata­n tentang hal berkenaan.

 ?? [FOTO BERNAMA] ??
[FOTO BERNAMA]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia