Berita Harian

Naib Presiden PAS dakwa hanya beli Perodua Viva

-

Kota Bharu: Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah, menafikan dakwaan beliau membeli sejumlah kereta mewah dan kediaman untuk ahli keluarga serta dirinya seperti didakwa portal, Sarawak Report.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, mengakui ada membeli Perodua Viva dan kenderaan lain bawah nilai RM100,000, bukannya kereta mewah seperti didakwa Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

“Tuduhan dalam kes di Mahkamah Tinggi London itu boleh dikatakan 100 peratus tidak benar dan lebih kepada hearsay (cakap dengar). Beli kereta itu memang betul tapi kereta yang macam mana adalah mengikut kemampuan.

“Kereta dalam RM60,000 hingga RM100,000 takkan tidak boleh beli, sedangkan cikgu sekolah boleh beli dengan harga RM200,000, takkan Timbalan Menteri Besar tidak boleh beli kereta harga lebih RM100,000.

“Apa pun saya tidak boleh nak komen lebih lanjut kerana dinasihatk­an peguam supaya tidak memberi maklum balas mengenai perkara ini. Tambahan pula, semua maklumat saya sudah beri kepada peguam dan kes dianggap selesai,” katanya selepas memberi kuliah mingguan, di sini semalam.

Mohd Amar menjawab dakwaan beliau memiliki kereta mewah seperti Range Rover, Audi 6, Toyota Vellfire dan Toyota Altis serta membina beberapa rumah untuk ahli keluargany­a, hasil wang pemberian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan disalur kepada PAS.

PAS bukan tarik balik saman

Katanya, isu pemberian dana RM90 juta daripada UMNO termasuk pembelian kereta mewah sepatutnya sudah selesai susulan persefaham­an penyelesai­an di luar mahkamah pada 1 Februari lalu dan dipersetuj­ui bersama dengan editor Sarawak Report terbabit.

“Semua perlu faham, PAS bukan tarik balik saman, sebaliknya penyelesai­an di luar mahkamah dan ia membawa maksud berbeza. Penyelesai­an luar mahkamah perkara biasa seperti kes (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan (Ahli Parlimen Rembau) Khairy Jamaluddin.

“Kalau nak persoalkan PAS tidak nampak jalan nak menang (siasatan dana RM90 juta di Mahkamah Tinggi London), kenapa Clare Rewcastle Brown turut bersetuju, memandangk­an penyelesai­an luar mahkamah memerlukan persetujua­n dua pihak.

“Kalau kata dia (Rewcastle Brown) ada bukti kukuh dan boleh menang, kenapa setuju. Apabila setuju sepatutnya kedua-dua pihak diamlah sebab persetujua­n sudah dibuat, jadi tidak sepatutnya Clare komen lagi dalam Sarawak Report dan jangan panjangkan cerita,” katanya.

Dalam perkembang­an berkaitan, Mohd Amar menggesa Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasat bekas Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasa­n, berhubung dakwaan PAS menerima wang RM90 juta daripada 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia