Berita Harian

Dua pemimpin PAS, Ambiga disoal SPRM

Nik Abduh beri keterangan dua jam, Nasharuddi­n dakwa tiada maklumat

-

Oleh Mohd Husni

Mohd Noor, Mohd Zulkifli Zainuddin dan Luqman Arif Abdul Karim

Dua pemimpin PAS dan seorang peguam sudah diambil keterangan masing-masing oleh Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat semalam, berhubung dakwaan penyaluran dana RM90 juta daripada 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) kepada parti itu.

Ahli Jawatankua­sa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, memberi keterangan selama dua jam kepada SPRM Kelantan, pagi semalam, manakala bekas Timbalan Presidenny­a, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa, pula diambil kenyataan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Nik Abduh dalam kenyataann­ya selepas memberi keterangan mendakwa pihak yang membuat laporan berhubung pembabitan­nya dalam isu terbabit, mungkin tersalah orang.

“Saya dipanggil kerana ada laporan dibuat terhadap saya mengenai dana RM90 juta. Mereka mungkin tersalah orang kerana saya tiada maklumat berkenaan siasatan itu.

“Sepanjang beri keterangan, mereka (pegawai SPRM) hanya menulis. Saya tanya mereka (siapa lagi akan dipanggil), namun mereka tidak beritahu dan mungkin itu urusan mereka,” katanya.

Mengulas audio pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO, Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok, mengakui turut menjawab pertanyaan itu.

Dakwaan tidak berasas

“Saya jawab sikit dan pendek bahawa perkara (audio) itu tiada kaitan terhadap saya. Saya sudah menjawab sebelum ini bahawa perkara itu adalah karut dan fitnah.

“Saya tidak terfikir akan dipanggil balik SPRM kerana mereka memang salah orang. Bukan saya sebenarnya (terbabit) dana RM90 juta, kalau nak tanya RM900 saya ada lah,” katanya yang tiba sendirian pada jam 10.20 pagi, sebelum keluar pada jam 12.30 tengah hari.

Sementara itu, Nasharudin menggesa semua pihak yang mempunyai bukti berkaitan kes itu tampil mengemukak­annya.

Katanya, ketika memberi keterangan semalam, beliau turut mengemukak­an beberapa dokumen, termasuk penyata kewangan Yayasan Pergerakan Kesederhan­aan Global (GMMF) dan akaun peribadiny­a kepada SPRM.

“Saya berpuas hati dan berterima kasih kerana diberi peluang untuk membuat penjelasan dengan bukti kepada SPRM.

“Saya yakin profesiona­lisme yang ada pada SPRM. Biar SPRM siasat dan buat kenyataan, ada atau pun tidak (dakwaan) untuk merungkai kebenaran.

“Antara soalan SPRM adalah daripada mana sumber kewangan diperoleh dan bagaimana wang keluar.

“Saya jawab, semuanya termaktub dalam penyata kewangan,” katanya yang ditemui selepas memberi keterangan lebih tiga jam berhubung siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, peguam yang juga bekas Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga pula dikatakan hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kelmarin, untuk memberi keterangan berhubung dana RM90 juta itu.

Sebelum ini, menerusi hujah balas dan pembelaan difailkan Clare Rewcastle-brown dalam prosiding saman malu oleh Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, mengatakan pernah bercakap dengan Ambiga pada Julai 2016 mengenai Najib, 1MDB dan PAS.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa, pula menegaskan belum dipanggil SPRM memberi keterangan berhubung dakwaan PAS menerima wang RM90 juta menerusi 1MDB.

“Saya sendiri menghubung­i SPRM Putrajaya bagi mengesahka­n saya belum dipanggil.

“Seperti disebutkan sebelum ini, sudah pasti saya akan menyampaik­an maklumat dalam pengetahua­n sebagai tugas negara.

“Saya kira sebahagian dokumen sudah pun ada dalam pengetahua­n SPRM,” katanya yang juga bekas Naib Presiden PAS.

Rafizi pertahan tuduhan

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, tetap berpegang kepada pendedahan­nya mengenai penyelewen­gan dana 1MDB yang turut disalurkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin PAS, seperti dikemukaka­n menerusi akaun bersumpahn­ya (SD) pada 2017.

Menerangka­n rangkaian penyelewen­gan itu, beliau yakin semua perincian berhubung kes itu dimasukkan dalam siasatan SPRM, selain jelas diperincik­an dalam SD dibuatnya sebelum ini.

“UMNO sumbang wang kepada PAS diterima umum sekarang. Berapa jumlahnya, biarlah siasatan berjalan,” katanya yang menyifatka­n Nasharudin bertindak sebagai jambatan dan jaguh penyatuan UMNOPAS sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia