Berita Harian

LHDN perkenal PKPS individu miliki akaun luar negara

-

Kuala Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mewujudkan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) untuk individu yang memiliki akaun bank di luar negara dan masih gagal membuat pelaporan cukai yang sepatutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata ia satu penyelesai­an cukai terhadap mereka yang ada pendapatan dijana daripada hasil sumber pendapatan Malaysia yang boleh dicukai dan disimpan di akaun bank luar negara, namun pendapatan itu masih belum dilaporkan kepada LHDN.

Beliau berkata, surat dan e-mel dikeluarka­n pihak LHDN disasar khusus kepada pembayar cukai memiliki akaun bank di luar negara yang masih gagal membuat pelaporan cukai sepatutnya.

“Pembayar cukai dalam kategori itulah yang diminta dalam surat dan e-mel LHDN untuk menghubung­i dan melaporkan pendapatan kepada kami.

“Pihak kerajaan bersetuju memberi kelonggara­n penguranga­n bayaran penalti daripada 300 peratus kepada 10 peratus sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 31 Mac 2019, dan 15 peratus sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 30 Jun 2019,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Disaran hadir ke LHDN

Sabin berkata, bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembanguna­n Ekonomi (OECD), LHDN menerima maklumat kewangan, khususnya pemilikan akaun bank dari luar negara, mulai September tahun lalu.

“Oleh itu, individu memiliki akaun bank di luar negara disaran segera hadir ke pejabat LHDN jika ada pendapatan belum dilaporkan,” katanya.

Dalam pada itu, Sabin berkata, LHDN juga sudah mengambil tindakan terhadap aduan diterima berhubung segelintir pegawai mereka menjalanka­n tugas secara tidak profesiona­l, mengugut pembayar cukai dan tidak mengikut prosedur.

“Kami memberi jaminan bahawa aktiviti audit atau siasatan tidak akan membabitka­n serbuan ke atas rumah pembayar cukai pada waktu malam,” katanya.

Pembayar cukai dalam kategori itulah yang diminta dalam surat dan e-mel LHDN untuk menghubung­i dan melaporkan pendapatan kepada kami ” Sabin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia