Berita Harian

Wisma Putra usaha selesai masalah

-

Kuantan: Kerajaan berusaha membantu menyelesai­kan masalah berhubung penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja sejak Disember lalu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pihak Kedutaan Besar Malaysia sudah mengemukak­an Nota Diplomatik kepada Kementeria­n Luar negara itu bagi mendapatka­n penjelasan mengenai penahanan berkenaan.

“Kita berusaha membantu mereka dan saya difahamkan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng (Wei Shien) pun banyak membantu ahli keluarga mangsa.

“Kita berharap ia dapat diselesaik­an dengan baik. Kaunselor kita di sana sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa negara itu bagi membantu memudahkan urusan mereka yang ditahan.

“Mereka juga melawat semua rakyat kita yang ditahan di sana bagi memastikan kebajikan terjamin,” katanya pada sidang media selepas mempengeru­sikan mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Pahang di Wisma Persekutua­n, di sini, semalam.

Terjerat taktik sindiket

Kelmarin, Wei Shien pada sidang media di Kuching, Sarawak, mendedahka­n penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja sejak 11 Disember lalu, selepas diumpan dengan janji manis gaji lumayan dipercayai didalangi sindiket pemerdagan­gan manusia.

Mereka berusia 19 hingga 44 tahun, terjerat taktik licik sindiket yang menjadikan keluarga miskin di luar bandar sebagai sasaran utama.

Daripada jumlah itu, 44 adalah anak muda Sarawak berasal daripada keluarga miskin membabitka­n belia Melayu, Iban dan Melanau.

Sementara itu, mengulas mengenai hasil mesyuarat pertama Majlis Tindakan Negeri Pahang semalam pula, Saifuddin berkata, beberapa cadangan dikenal pasti untuk mengatasi isu berbangkit seperti projek bermasalah di negeri ini.

“Masih terlalu awal kita membuat rumusan hasil mesyuarat dan persetujua­n yang kita capai memandangk­an ini (mesyuarat) kali pertama. Namun, ada perkembang­an positif dan cadangan yang kita boleh perhalusi.

“Kita akan menubuhkan Jawatankua­sa Pembanguna­n Negeri Pahang yang dianggotai wakil kerajaan negeri dan Pusat, syarikat berkaitan kerajaan serta dewan perniagaan, selain wakil masyarakat setempat atau persatuan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia