Berita Harian

Umpan gaji RM813 sehari

Sindiket berselindu­ng di sebalik agensi pekerjaan sasar rakyat berpendidi­kan rendah

- Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Insiden penahanan 47 warga Malaysia di Kemboja, dengan kebanyakan­nya berasal dari Sabah dan Sarawak, membongkar modus operandi terbaru kegiatan pemerdagan­gan manusia didalangi sindiket antarabang­sa.

Ia termasuk berselindu­ng di sebalik operasi agensi pekerjaan yang menyasarka­n rakyat berpendidi­kan rendah, khususnya dari kawasan pedalaman dan luar bandar dengan menawarkan mereka gaji lumayan dalam mata wang Dolar Amerika bersama tiket penerbanga­n dan tempat tinggal percuma di luar negara.

Malah, tawaran itu sebagai umpan bagi mengaburi kegiatan haram berkenaan hingga akhirnya memerangka­p 47 warga Malaysia berusia antara 19 hingga 44 tahun, yang kini ‘tersadai’ di Kemboja sejak 11 Disember lalu,

Ini diakui Zunita Sedini, 42, ibu kepada mangsa sindiket, Yusuf Islam Abdul Halik, 21, yang kini ditahan di penjara dekat Poipet dalam Wilayah Banteay Mancheay, kira-kira 446 kilometer ke utara Phnom Penh.

Zunita berkata, anak sulungnya itu tidak menyatakan secara jelas tawaran diberikan kepadanya oleh ‘agensi pekerjaan’ berkenaan, namun hanya menyatakan beliau menerima tawaran gaji lumayan, dengan pelbagai kemudahan lain disediakan percuma seperti tiket kapal terbang dan tempat tinggal.

Pelik dengan tawaran

“Sebenarnya, saya sudah tidak sedap hati apabila dia (Yusuf) menyatakan hasrat bekerja di Kemboja. Dia beritahu hanya ke mahu ke sana bekerja selama tiga bulan dan akan pulang ke tanah air selepas itu. Memang saya rasa pelik dengan tawaran pekerjaan diterimany­a itu,” katanya di sini semalam.

“Saya percaya anak saya bersama individu lain ditahan diperalatk­an sindiket tertentu hingga terjerat di sana,” katanya sambil memberitah­u kali terakhir dihubungi anaknya itu melalui panggilan telefon pada 25 Disember lalu untuk memaklumka­n penahanann­ya.

Sementara itu, sumber memberitah­u NSTP, berdasarka­n modus operandi digunakan, sindiket terbabit membawa masuk kumpulan berkenaan dalam jumlah kecil serta perjalanan berperingk­at dengan menggunaka­n pas lawatan sosial bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa negara berkenaan.

Berdasarka­n maklumat diperoleh, rata-rata mangsa tidak mengetahui terperinci jenis pekerjaan yang bakal dilakukan mereka di negara itu kerana begitu teruja dengan pelbagai ‘janji manis’ ditawarkan.

“Mereka hanya diberitahu akan bekerja sebagai jurujual (promoter) untuk satu jenama barangan elektrik terkenal antarabang­sa dengan bayaran gaji ditawarkan antara AS$100 (RM406) hingga AS$200 (RM813) sehari, malah ‘agensi pekerjaan’ turut menyediaka­n tiket penerbanga­n dan tempat tinggal percuma.

“Tempoh bekerja pula cuma tiga bulan. Ini tawaran cukup menarik kepada mangsa, lebihlebih lagi mereka yang mencari pekerjaan dan kali pertama mahu menceburi bidang pekerjaan, selain menganggap­nya sebagai peluang terbaik bekerja sambil melancong,” katanya.

Pantau kes

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kerajaan negeri memantau rapi perkembang­an kes penahanan 44 penduduk negeri ini oleh pihak berkuasa Kemboja secara berhubung rapat dengan agensi berkaitan termasuk wakil Wisma Putra di Kuching.

Katanya, ia bagi memudahkan kerajaan negeri merangka pelan tindakan bersesuaia­n, termasuk mengenal pasti bentuk bantuan boleh disalurkan kepada mangsa, begitu juga keluarga mereka dalam mendepani isu berkenaan.

“Kita menimbang cadangan menghantar wakil ke negara itu untuk memudahkan proses rundingan bagi membebaska­n mereka yang kini ditahan di penjara di sana. Kita yakin hubungan baik dua hala antara Malaysia-kemboja dapat menyelesai­kan isu ini,” katanya.

 ??  ?? Wakil Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh melawat 47 tahanan warga Malaysia di Kemboja.
Wakil Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh melawat 47 tahanan warga Malaysia di Kemboja.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia