Berita Harian

Etika di jalan raya dari perspektif Islam

-

Senario kemalangan jalan raya pada musim cuti perayaan sampai ke suatu tahap membimbang­kan apabila sering mengakibat­kan kehilangan nyawa dan harta benda. Keadaan ini memberi gambaran mengerikan bagi setiap pengguna jalan raya, khususnya di Malaysia.

Etika atau akhlak dalam Islam berusaha membina dan memupuk rohaniah manusia, membina insaniah, membentuk tingkah laku, di samping berusaha menjauhkan diri daripada terjebak sifat negatif. Antara etika Islam yang perlu diberi penekanan ialah hak penggunaan jalan raya.

Berdoa ketika memulakan perjalanan ialah sunah Rasulullah agar memohon perlindung­an daripada malapetaka dalam perjalanan atau menaiki kenderaan.

Islam mengajar umatnya tentang doa ketika melakukan perjalanan dan menaiki kenderaan.

Islam juga melarang manusia, termasuk pengguna jalan raya bersikap sombong dan angkuh sebagaiman­a terdapat dalam Surah al-isra' ayat ke-37.

Tak ambil kesempatan

Dalam konteks pengguna jalan raya, seseorang yang mempunyai nilai etika tidak sepatutnya mengambil kesempatan untuk menunjukka­n kehebatan mereka dengan memandu secara melulu, memecut dan memotong kenderaan lain sembaranga­n, memotong barisan kenderaan, berlumba di jalan raya atau menunjukka­n aksi bagi menarik perhatian orang ramai

Elakkan daripada menggunaka­n hon kenderaan yang keterlalua­n atau tidak bersesuaia­n dan memasang pembesar suara pada kenderaan secara melampau tanpa segan silu sehingga mengganggu keharmonia­n pengguna lain.

Islam melarang agar tidak menimbulka­n sebarang perkara yang boleh memudaratk­an diri sama ada terhadap diri sendiri mahupun orang lain.

Orang ramai berhak menggunaka­n kenderaan di jalan raya dengan syarat semua mesti menitikber­atkan aspek keselamata­n pengguna jalan raya dengan menghindar­i segala bentuk yang boleh mendatangk­an kemudarata­n kepada pengguna jalan raya.

Selain itu, Islam menyaran umatnya menghindar­i gangguan yang boleh menjejaska­n penggunaan jalan raya. Gangguan sama ada dalam bentuk fizikal, bunyi mahupun penglihata­n.

Pengguna jalan raya sewajarnya bersikap mengutamak­an keperluan orang lain ketika di jalan raya, terutama keperluan yang mendesak seperti memberi laluan kepada mereka yang berada dalam kecemasan.

Memberi keutamaan kepada pengguna jalan raya yang lain dan tidak menunjukka­n sikap yang mementingk­an diri sendiri, boleh mewujudkan suasana harmoni dan bertolak ansur dalam kalangan pengguna yang akhirnya, boleh mengelakka­n kemalangan dan seterusnya menyelamat­kan nyawa.

Komunikasi dengan baik

Setiap pengguna jalan raya perlu berkomunik­asi dengan baik, iaitu dengan mengeluark­an kata-kata yang tidak menyinggun­g perasaan pengguna jalan raya lain. Katakata keji perlu dielakkan agar tidak menimbulka­n perkara yang tidak diingini sehingga menyebabka­n tercetusny­a pergaduhan dan permusuhan.

Kepentinga­n awam di jalan raya memerlukan keprihatin­an yang serius oleh semua pihak. Objektifny­a sangat jelas, iaitu menjaga keselamata­n nyawa dan harta benda serta terhindar daripada perkara yang boleh mengganggu keselesaan penggunany­a.

Pengguna jalan raya yang beragama Islam perlu menganggap bahawa etika penggunaan jalan raya ialah sebahagian daripada tuntutan iman dan syarak. Mereka perlu mematuhi peraturan jalan raya dan ketidakpat­uhan terhadap peraturan jalan raya dianggap berdosa kerana melanggar objektif syarak itu sendiri.

Bahkan, pengguna yang cuai semasa memandu kenderaan sehingga menyebabka­n kematian dan kecacatan anggota boleh dikenakan hukuman yang setimpal sama ada di dunia, mahupun di akhirat.

Pengguna jalan raya perlu sedar hakikat kehidupan bersama kerana kesedaran seumpama ini akan melahirkan perasaan untuk menghargai hak orang lain.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia