Berita Harian

Penduduk bimbang api merebak

-

Baling: Lebih 100 keluarga yang tinggal berdekatan kaki Gunung Baling di sini, bimbang dengan kebakaran kawasan terbabit yang berkemungk­inan merebak ke penempatan mereka.

Penduduk mendakwa sekiranya api terus marak, percikan api akan jatuh ke kaki gunung dan boleh menyebabka­n kediaman mereka yang terletak kurang 50 meter terbakar.

Penduduk, Zahruddin Hambali, 57, berkata setiap kali hutan Gunung Baling terbakar, mereka akan cemas kerana bimbang kejadian buruk berlaku.

“Sejak dahulu lagi kami tidak lena tidur apabila Gunung Baling terbakar kerana akan mendengar bunyi letupan kecil di kawasan lereng, selain bimbang bara kayu jatuh ke atas bumbung rumah.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat mempercepa­tkan usaha memadam kebakaran atau mengawal api daripada terkena rumah kami,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam kebakaran bermula sejak petang Rabu lalu, lebih 600 meter persegi hutan Gunung Baling terbakar dipercayai akibat perbuatan pengunjung membuang puntung rokok di laluan pendakian.

Tompokan api baharu

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Baling, Penolong Penguasa Mohd Jamil Mat Daud, berkata terdapat beberapa tompokan api baharu dikesan semalam, dipercayai akibat percikan api menyebabka­n operasi memadam bertambah sukar.

Katanya, ada kawasan kebakaran yang sudah padam sepenuhnya semalam, tetapi kembali berasap dipercayai kesan bara api yang tertinggal di bawah tanah gambut.

“Jika semalam, kawasan kebakaran pada paras ketinggian 260 meter sahaja, namun hari ini sudah merebak ke puncak pada paras lebih 300 meter membabitka­n kawasan seluas lebih 700 meter persegi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia