Berita Harian

UMNO saman Ahli Parlimen, ADUN Sabah keluar parti

-

Kota Kinabalu: UMNO akan mengemukak­an saman terhadap semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Sabah, yang meninggalk­an parti itu secara beramai-ramai selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hingga Disember lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata saman itu bukan bertujuan menghalang mereka keluar daripada parti, sebaliknya bagi menghormat­i syarat dan kontrak yang dipersetuj­ui sebelum mereka bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Katanya, tindakan saman itu turut membabitka­n wakil rakyat yang keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas PRU-14, bukan hanya dari Sabah.

“Kita akan saman semua yang bertanding atas tiket Barisan Nasi- onal (BN) dan UMNO, sama ada mereka kini menjadi wakil rakyat Bebas ataupun menyertai parti lain.

“Ini kerana mereka telah melanggar kontrak dan ikrar kepada parti, mereka telah menggunaka­n dana, bantuan tertentu dan menggunaka­n lambang parti dengan persetujua­n presiden (UMNO),” katanya selepas perjumpaan dengan pemimpin UMNO Sabah di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Sabah yang juga Ahli Parlimen Kinabatang­an, Datuk Bung Moktar Radin.

UMNO mampu bangkit

Annuar berkata, saman itu akan tetap diteruskan walaupun ada dalam kalangan wakil rakyat terbabit ingin kembali ke pangkuan UMNO kerana ia terpulang kepada keputusan mahkamah nanti.

“Rujuk balik (kembali ke pangkuan UMNO) itu isu lain, saman tetap jalan terus .... ini bukan satu bentuk pengajaran tetapi mengenai tanggungja­wab dan amanah, jika mereka melanggarn­ya, bermakna mereka telah pecah amanah,” katanya.

Beliau berkata, parti itu kini dalam proses melantik peguam serta mengumpul semua dokumen sebelum menyerahka­n writ saman kepada mereka yang terbabit.

Sementara itu, Annuar menegaskan, UMNO Sabah kini diberi autonomi sepenuhnya bagi melaksanak­an tugas parti itu di negeri ini.

“UMNO Sabah kini mempunyai kuasa penuh termasuk soal keahlian, kes disiplin kecuali kes rayuan, laporan kepada ROS (Jabatan Pendaftara­n Pertubuhan), itu antara contoh autonomi yang diberikan.

“Saya juga yakin, UMNO Sabah yang mempunyai keahlian paling ramai di negara ini mampu bangkit di bawah kepemimpin­an Bung Moktar, selain memiliki pemimpin baharu yang lebih muda. Ini perkembang­an baik bagi memulihkan semangat parti,” katanya.

Pada 12 Disember lalu, lima Ahli Parlimen dan sembilan ADUN dari UMNO Sabah, diketuai bekas Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO negeri, Datuk Hajiji Noor, mengumumka­n keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Sebelum itu, beberapa ADUN yang menang atas tiket BN dan UMNO di Sabah menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) atau menjadi ADUN Bebas selepas PRU14, selain Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang turut menjadi wakil rakyat Bebas.

 ?? [FOTO MALAI ROSMAH TUAH/BH] ?? Annuar dan Bung Moktar pada perjumpaan dengan pemimpin UMNO Sabah di Kota Kinabalu, semalam.
[FOTO MALAI ROSMAH TUAH/BH] Annuar dan Bung Moktar pada perjumpaan dengan pemimpin UMNO Sabah di Kota Kinabalu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia