Berita Harian

Axiata belum terima perintah mahkamah Nepal

-

Axiata Group Bhd dan pihak yang berkaitan masih belum menerima penghakima­n dan perintah daripada Mahkamah Agung di Nepal berhubung tuntutan Cukai Keuntungan Modal (CGT) yang timbul daripada selesainya penjualan Reynolds Holdings Ltd kepada Axiata Investment (UK) Ltd pada 2016.

Kumpulan telekomuni­kasi itu berkata, ia juga tidak mempunyai sebarang butiran mengenai perintah Mahkamah Agung itu.

Axiata berkata demikian susulan pelbagai artikel berhubung keputusan Mahkamah Agung mengenai dua writ petisyen oleh Ncell Private Ltd dan Reynolds, selain dua litigasi kepentinga­n awam yang dikemukaka­n terhadap pelbagai pihak berhubung tuntutan CGT.

Sehubungan itu kumpulan berkenaan akan memberikan maklumat terkini selanjutny­a selepas menerima perintah daripada Mahkamah Agung, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kemukakan petisyen

Keputusan Mahkamah Agung pada 6 Februari 2019 mengetepik­an kedua-dua writ petisyen dikemukaka­n oleh Reynolds dan Ncell serta satu daripada litigasi itu.

“Bagaimanap­un, Axiata faham mahkamah telah membuat keputusan yang memihak kepada PIL yang difailkan Dwarikanat­h Dhungel dan pihak lain yang merayu bahawa tanggungja­wab CGT adalah kepada Ncell, Reynolds dan Axiata UK.

“Ncell, Reynolds, dan Axiata UK diberikan pelepasan penuh oleh Pejabat Pembayar Cukai Besar Nepal (LTPO) terhadap kewajipan mereka untuk menahan sebarang pembayaran CGT bagi pihak penjual (Telia Company) berhubung transaksi (penjualan Reynolds) menerusi surat daripada LTPO yang bertarikh 4 Jun 2017.

“Ini berikutan pembayaran penuh dan akhir yang dibuat Ncell, walaupun dilakukan dengan protes atas dasar bahawa CGT tidak boleh digunakan untuk transaksi luar pesisir dan walaupun boleh digunakan, sebarang kekurangan bayaran adalah di bawah tanggung jawab penjual,” katanya.

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Axiata belum menerima butiran perintah Mahkamah Agung di Nepal berhubung tuntutan CGT.
[FOTO HIASAN] Axiata belum menerima butiran perintah Mahkamah Agung di Nepal berhubung tuntutan CGT.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia