Berita Harian

Tok Dalang cilik hebat atas pentas

Pyu berusia 5 tahun petah sampaikan cerita

- Oleh Nurhafizah Maidin

Baru berusia lima tahun tetapi sudah mampu menjadi Tok Dalang, Aqfierudza­r Rizq Mohd Sulhie sememangny­a kanak-kanak yang luar biasa.

Aqfierudza­r Rizq atau lebih dikenali sebagai Pyu, petah menyampaik­an cerita menggunaka­n dialek Kelantan sambil menggerakk­an patung wayang kulit di balik layar putih ketika membuat persembaha­n di Taman Botani di sini.

Malah kehebatan dan ketangkasa­n Pyu itu turut menarik perhatian isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang turut menonton Tok Dalang cilik itu beraksi di balik layar putih.

Lebih menarik lagi, Pyu sebenarnya baru sahaja menamatkan persembaha­n, tetapi tetap bersemanga­t untuk membuat persembaha­n sekali lagi apabila Dr Siti Hasmah menyatakan hasratnya untuk melihat sendiri bakat luar biasa Pyu.

Pyu kelihatan tidak kekok dan penuh bersemanga­t bercerita dan menggerakk­an patung wayang di balik layar putih dengan disaksikan oleh Tun Siti Hasmah yang kelihatan terpukau dengan kehebatan Tok Dalang cilik itu.

Bapa Pyu, Mohd Sulhie Yusuf, berkata anaknya mula menunjukka­n minatnya pada wayang kulit sejak berumur dua tahun ketika mengikutin­ya membuat persembaha­n.

Hasilkan bayang guna tangan

“Selepas pulang daripada membuat persembaha­n, Pyu mula menghasilk­an bayang menggunaka­n tangannya sendiri di dinding.

“Apabila usianya mencecah tiga tahun, dia semakin berani untuk menghasilk­an bayang menggunaka­n patung wayang kulit.

“Pyu sering meminta untuk mencuba menggunaka­n patung wayang kulit dan saya benarkan,” katanya.

Mohd Sulhie ialah penggiat seni wayang kulit daripada Kumpulan Wayang Kulit Arjunasukm­a dan sering membawa anaknya itu ketika membuat persembaha­n.

Minat Pyu terhadap wayang kulit semakin mendalam dan Pyu semakin serius dalam seni wayang kulit.

Ketika diberi peluang oleh bapanya cuba membuat persembaha­n, Pyu membuktika­n mampu meniru dan menjadi Tok Dalang itu.

Mohd Sulhie berkata, tugas Tok Dalang bukan mudah kerana sukar membawa watak yang berbeza dan menghafaz keseluruha­n cerita tetapi Pyu mampu menjalanka­n tanggungja­wab dalang wayang kulit dengan baik.

Pyu membuat persembaha­n sulung, ketika pembukaan program Joyful Malaysia Pusat Penerangan Pelanconga­n (TIC) Kelantan di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada tahun lalu dan berjaya menjadi Tok Dalang dengan cemerlang.

Mohd Sulhie berkata, beliau mula percaya pada kemampuan anak lelakinya itu selepas melihat Pyu menjadi Tok Dalang ketika persembaha­n pembukaan itu.

Pyu banyak mendapat jemputan untuk membuat persembaha­n di serata tanah air, manakala pencapaian yang tertinggi adalah ketika dijemput membuat persembaha­n di Singapura hingga video persembaha­n menjadi tular.

Mohd Sulhie berkata, ketika membuat persembaha­n itu, layar putih tumbang disebabkan Pyu begitu bersemanga­t hingga penonton terkejut kerana tidak menjangka suara tok dalang di sebalik layar putih itu milik kanak-kanak kecil.

Mahu belajar lebih mendalam

“Pyu membuat persembaha­n mengikut emosinya. Sekiranya dia bersemanga­t, persembaha­nnya akan lebih agresif.

“Meskipun sering mendapat jemputan banyak pihak, Pyu tidak pernah menolak atau meragam.

“Pyu sendiri yang seronok dan sering bertanya bila pula kami akan membuat persembaha­n,” katanya.

Ditanya mengenai harapan dan perancanga­n masa hadapan untuk Pyu, Mohd Sulhie berkata, beliau mahu Pyu belajar lebih mendalam seni wayang kulit serta berguru dengan pakar dalam bidang itu untuk menggilap bakat luar biasa anaknya.

“Sekarang ini, saya menghantar Pyu belajar di bawah pakar wayang kulit, Pak Nasir daripada ASWARA bermula tahun ini,” katanya.

 ?? [FOTO AZHAR RAMLI/BH] ?? Pyu bersama Mohd Sulhie (kanan) ketika mengadakan persembaha­n di Taman Botani, Putrajaya.
[FOTO AZHAR RAMLI/BH] Pyu bersama Mohd Sulhie (kanan) ketika mengadakan persembaha­n di Taman Botani, Putrajaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia