Berita Harian

Promosi 1 Januari tarikh penting bendung tabiat merokok

-

Tarikh 1 Januari 2019 perlu dipromosi sebagai tarikh penting membendung budaya merokok, seiring misi Kementeria­n Kesihatan menurunkan prevalen merokok kurang daripada lima peratus, menjelang 2045 dalam kalangan rakyat Malaysia.

Semua premis makanan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok, di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 bermula awal bulan lalu.

Sebelum ini, arahan itu hanya membabitka­n restoran berhawa dingin sahaja, bagaimanap­un ia diperluas ke restoran tidak berhawa dingin, warung terbuka dan trak makanan yang menyediaka­n meja dan kerusi, serta restoran yang berada di atas kapal dan kereta api.

Pewartaan ini komitmen kerajaan sebagai negara anggota Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC).

Langkah itu inisiatif Kementeria­n Kesihatan memperluas kawasan larangan merokok dan membudayak­an amalan tidak merokok, serta melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.

Bantahan pelbagai pihak

Pelbagai reaksi dapat kita lihat sejak pengumuman mengisytih­arkan semua premis makanan sebagai kawasan larangan merokok oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye di Dewan Negara pada 5 September 2018.

Memang tidak dinafikan ada bantahan daripada perokok, malah pemilik restoran turut membantah arahan itu. Antara alasan utama penguatkua­saan itu menjejaska­n perniagaan mereka.

Tujuh individu memfailkan semakan kehakiman di mahkamah, untuk mencabar penguatkua­saan larangan merokok di semua premis makanan dan mereka memperoleh kebenaran mencabar larangan itu.

Namun, kementeria­n sama sekali tidak perlu tunduk kepada desakan sedemikian.

Selepas lebih sebulan berlalu, syabas kepada kementeria­n kerana tidak menangguhk­an peraturan larangan merokok di semua premis makanan.

Namun, kerjasama di antara pihak berkuasa serta agensi berkaitan, pemilik premis makanan, masyarakat setempat dan perokok sendiri amat diperlukan, untuk memastikan kejayaan pelaksanaa­n larangan berkenaan.

Selain penguatkua­saan, pemilik premis makanan memainkan peranan penting memastikan pematuhan penuh usaha bebas asap rokok.

Pemasangan papan tanda larangan merokok mengikut spesifikas­i di tempat strategik serta melupuskan penggunaan bekas abu rokok tindakan asas yang perlu dilaksanak­an.

Jika ada pelanggan yang merokok, pemilik premis harus tegas menghalang perbuatan itu. Persekitar­an bebas asap rokok sama sekali tidak merugikan pemilik restoran dan gerai makanan.

Pelanggan akan tetap mengunjung­i premis makanan kerana makan ialah keperluan asas kehidupan. Bahkan, keluarga bersama anak kecil pasti memilih premis yang bebas daripada asap rokok.

Klinik berhenti merokok

Umum mengetahui rokok memudaratk­an kesihatan, namun masih ramai yang merokok. Ketagihan nikotin punca utama mengapa perokok sukar berhenti merokok.

Oleh yang demikian, mereka seharusnya memanfaatk­an sepenuhnya perkhidmat­an Klinik Berhenti Merokok yang disediakan Kementeria­n Kesihatan, menerusi klinik kesihatan serta hospital terpilih.

Dua perkara utama yang perlu dititikber­atkan sebelum menjalani proses berhenti merokok ialah membuat keputusan tegas untuk meninggalk­an tabiat merokok, serta merancang persediaan bagi memudahkan usaha.

Ahli keluarga serta rakan perlu membantu dan menyokong usaha mereka untuk berhenti merokok.

Peluasan kawasan larangan merokok satu daripada strategi menjadikan Malaysia sebagai negara yang sihat dan bebas daripada amalan merokok.

Tindakan bersepadu daripada pelbagai kementeria­n, agensi, masyarakat dan individu perlu dikerah untuk merealisas­ikan agenda berkenaan.

Ia harus dipacu pada semua peringkat secara proaktif dan berterusan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu terbabit secara langsung, mendidik masyarakat mengenai isu berkaitan kesan tembakau dan produk tembakau terhadap kesihatan.

Setiap NGO mempunyai kumpulan sasar, kemampuan serta kepakaran masing-masing.

Pendidikan kesihatan melalui kempen media, siri ceramah berfokus di sekolah dan universiti, menganjurk­an kempen anti tembakau seperti riadah berbasikal atau pertanding­an video serta aktiviti out-reach dapat membantu Kementeria­n Kesihatan melaksanak­an advokasi.

Sokongan demikian amat diperlukan dalam usaha mencegah tabiat merokok daripada berleluasa.

Dr Ahmad Farid Nazmi Abdul Halim,

Ketua Unit Kawalan Rokok & Vape, Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-medik)

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Larangan merokok di premis makanan disambut baik masyarakat tidak merokok.
[FOTO HIASAN] Larangan merokok di premis makanan disambut baik masyarakat tidak merokok.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia