Berita Harian

Bangladesh pintas Rohingya ke Malaysia

Penyeludup cuba bawa masuk 30 pelarian menaiki bot

-

Pasukan keselamata­n Bangladesh menghalang 30 pelarian Rohingya daripada diseludup ke Malaysia dengan bot, kata pegawai hari ini, ketika kebimbanga­n meningkat laut tenang mungkin menarik mereka yang tinggal di kem sesak untuk ke negara itu.

Dua suspek penyeludup manusia ditahan dalam operasi oleh Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) di daerah Cox‘s Bazar lewat kelmarin.

Seramai 17 wanita, enam kanak-kanak dan tujuh lelaki ditahan di pantai berhampira­n Teknaf, yang bersempada­n dengan negeri Rakhine, kata BGB.

Ini adalah kali ketiga sejak November lalu pelarian Rohingya dipintas ketika cuba melarikan diri ke Malaysia dengan bot. Beberapa bot turut dipintas ketika cuba meninggalk­an Myanmar.

Jurucakap BGB, Leftenan Kolonel Asadud Chowdhury, berkata 30 pelarian itu diperdaya penyeludup manusia yang beroperasi di kem pelarian di Cox‘s Bazar.

Katanya, pelarian berkenaan yang membuat bayaran AS$1,000 (RM4,071.66) untuk ‘laluan selamat’ ke Malaysia, akan dihantar balik ke kem.

Mahu ‘berkahwin’

Seorang daripada wanita dalam kumpulan itu berkata, beliau mahu ke Malaysia untuk ‘berkahwin’ dengan lelaki Rohingya yang tidak pernah ditemuinya.

“Bapa saudara saya membayar untuk perjalanan ini. Bakal suami akan bertemu saya sebaik saya sampai di Malaysia,” katanya yang enggan dikenali.

Ada kebimbanga­n keadaan cuaca yang semakin baik mendorong Rohingya diperdaya penyeludup untuk meninggalk­an kem di Bangladesh dan melakukan pelayaran bahaya dengan bot ke Malaysia.

Penyeludup menghantar puluhan ribu Rohingya dari kem itu ke Malaysia sebelum Bangladesh melancarka­n tindakan keras pada 2015.

Ia dilakukan selepas pihak berkuasa Thailand menemui kubur besar pelarian dan bot terlebih sesak dipintas di laut.

Teluk Benggala, yang perlu dilalui bot dalam perjalanan ke Malaysia, lebih tenang antara November dan Mac namun banyak bot kecil diisi penuh sesak oleh pemilik yang tamak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia