Berita Harian

Chong Wei dijangka kembali

Choong Hann sahkan penyertaan bergantung lampu hijau daripada doktor

- Oleh Helmi Talkah

Jaguh perseorang­an lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei hampir pasti membuat kemunculan semula pada saingan Terbuka Malaysia, April ini selepas berehat panjang susulan menghidap kanser hidung.

Pengarah Kejurulati­han Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata mengikut perancanga­n awal, nama pemain berusia 37 tahun itu akan didaftarka­n bagi beraksi dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 berkenaan.

“Mengikut perancanga­n awal memang kami akan mendaftark­an nama Chong Wei untuk aksi Terbuka Malaysia sebelum tarikh tutup pendaftara­n pada 19 Februari ini. Lagipun, Chong Wei sendiri yang menyuaraka­n hasrat untuk bermula semula pada Terbuka Malaysia.

“Namun, ia juga bergantung kepada keadaan tubuh badannya dan pemeriksaa­n terakhir daripada doktor yang merawatnya. Dia memerlukan lampu hijau daripada doktor sebelum kembali beraksi,” kata Choong Hann ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, di sini, semalam.

Perkembang­an itu seharusnya menjadi perkhabara­n gembira buat peminat badminton tempatan yang merindui kelibat Chong Wei selepas kali terakhir pada Terbuka Indonesia, Julai tahun lalu.

Ketika itu, dia terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada bintang sensasi Jepun, Kento Momota.

Seminggu sebelum itu, pemenang pingat perak Olimpik tiga kali berkenaan cemerlang apabila merekodkan gelaran ke-12 Terbuka Malaysia dengan menjadikan Momota sebagai ‘mangsanya’ ketika aksi di pentas final.

Disahkan bebas kanser

Bagaimanap­un, bekas pemain nombor satu dunia itu terpaksa melupakan arena badminton seketika selepas disahkan menghidap kanser hidung tahap awal yang menyaksika­n dia perlu menjalani rawatan selama empat bulan dan kini disahkan bebas daripada penyakit itu.

Dia sudah kembali menjalani latihan sejak awal bulan lalu dengan fokus bagi membentuk semula kekuatan fizikalnya dan menunjukka­n perkembang­an yang positif.

“Kalau dia memerlukan rehat, dia akan berehat,” kata Choong Hann.

Saingan Terbuka Malaysia akan bermula dari 2 hingga 7 April di Axiata Arena Bukit Jalil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia