Berita Harian

UITM Lions sasar melangkah ke pentas akhir

-

Shah Alam: Pasukan Ragbi Univesiti Teknologi MARA (UITM) Lions mempertaru­hkan 21 muka baharu untuk beraksi dalam Kejohanan Liga Ragbi Premier Malaysia 2019 yang akan membuka tirainya pada 17 Februari ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UITM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohammad Said berkata, walaupun 70 peratus pemain adalah muka baharu serta pertama kali beraksi dalam liga berkenaan, UITM Lions tetap optimis mampu memenuhi sasaran untuk beraksi di pentas akhir.

“Untuk musim 2019, sasaran kita sekurang-kurangnya untuk beraksi di pentas akhir dan jika boleh kita inginkan kejuaraan. Kali terakhir kita ke pentas akhir adalah pada musim 2013 serta tempat keempat pada musim 2017.

“Selain 21 muka baharu yang juga mahasiswa UITM, pasukan kita turut diperkuatk­an dengan lima bekas mahasiswa UITM, termasuk pemain ragbi kebangsaan, Mohd Syahir Asyraf Rosli.

“Kekuatan UITM Lions turut diperkukuh­kan dengan empat pemain import dari Fiji iaitu Are Monoka, Lepani Likusuasua Peremo Tuivanuavo­u, Peceli Davobalavu dan Iowane Teba,” katanya pada sidang media selepas majlis memperkena­lkan pemain dan penaja UITM Lions 2019 di Pusat Sukan UITM, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Jurulatih UITM Lions, Zamri Abd Kahar berkata, walaupun UITM Lions diundi dalam kumpulan A bersama juara bertahan Keris Conlay serta UPM Angels dan SSTMI Tsunami, namun yakin mampu melepasi peringkat kumpulan.

“Kita berpengala­man dalam menentang UPM Angels dan Keris Conlay sebelum ini. Malah kita sudah mengkaji keupayaan kedua-dua pasukan ini. Jika kita berjaya melepasi pusingan pertama, laluan seterusnya akan lebih mudah.

“UITM Lions sudah melakukan persiapan rapi sejak Disember tahun lalu dan pemilihan pemain dibuat menerusi latihan yang banyak,” katanya.

 ?? [ FOTO ROSLIN MAT TAHIR / BH ] ?? Dr Abdullah bersama pemain ragbi UITM pada majlis memperkena­lkan jersi serta penaja dan pemain ragbi UITM Lions di Shah Alam, semalam.
[ FOTO ROSLIN MAT TAHIR / BH ] Dr Abdullah bersama pemain ragbi UITM pada majlis memperkena­lkan jersi serta penaja dan pemain ragbi UITM Lions di Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia