Berita Harian

Harimau Selatan mudah baham City Boys

- Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan kedua berturut-turut apabila mudah menjinakka­n Kuala Lumpur 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam tadi.

Tanpa kelibat Natxo Insa yang mengalami kecederaan ketika menentang Perak, pengendali JDT, Luciano Figueroa melakukan rombakan kecil dengan menyenarai­kan Afiq Fazail dalam kesebelasa­n utama sambil mengekalka­n barisan sama ketika menewaskan skuad Mehmet Durakovic 1-0 dalam aksi Piala Sumbangsih, Sabtu lalu.

Kelebihan beraksi di laman sendiri digunakan sepenuhnya skuad Harimau Selatan untuk mengasak ke kubu skuad The City Boys menerusi beberapa gerakan berbahaya yang mengundang cemas penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Namun, pelawat hampir membuka jaringan pada minit ke-31 selepas Sylvano Comvales bijak melepasi perangkap ofsaid tuan rumah tetapi percubaan pemain itu sekadar melepasi palang gol ketika penjaga gol, Farizal Marlias sudah tertewas.

Peluang terbaik tuan rumah mencipta jaringan dipersia-siakan oleh Syafiq Ahmad selepas berjaya melepasi kawalan benteng pelawat namun bola rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-36 hanya sipi daripada gawang gol.

Hadiahkan penalti

Ketika aksi memasuki minit kecederaan babak pertama, pengadil perlawanan, Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim tidak teragak-agak menghadiah­kan sepakan penalti selepas Hisyamudin Sha’ri mengasari Safawi Rasid di dalam kotak.

Gonzalo Cabrera yang ditugaskan mengambil sepakan penalti itu merembat kencang tepat ke penjuru kanan menewaskan Mohd Sharbinee bagi memastikan JDT mendahului 1-0 sebelum melangkah masuk ke bilik persalinan bagi mengakhiri babak pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-50 selepas bola umpanan Aaron Niguez gagal disudahkan Safawi yang cuba melencongk­an bola namun sipi dari gawang gol.

Selang dua minit Syafiq akhirnya menemui sentuhan penyudah selepas penyerang JDT itu mudah menampan bola menewaskan Mohd Sharbinee hasil bola sepakan lintang Corbin Ong bermula daripada gerakan Cabrera.

Pemain gantian, Diogo Luis Santo mencetak nama selaku penjaring untuk meletak tuan rumah selesa 3-0 pada minit ke-59 berpunca daripada sepakan sudut Safawi yang mengeliruk­an dan pemain import termahal Liga Malaysia (Liga M) itu sekadar menampan bola menewaskan Mohd Sharbinee.

Pada minit ke-77, pelawat berjaya mencipta gol selepas kesilapan benteng tuan rumah yang gagal mengeluark­an bola dari kawasan bahaya menyaksika­n Comvales bertindak merembat kencang dari luar kotak penalti menewaskan Farizal.

Namun, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham menamatkan sisa perjuangan anak didik Yusri Che Lah selepas melengkapk­an kemenangan tuan rumah 4-1 apabila merembat kencang bola di dalam kotak penalti menewaskan Mohd Sharbinee pada minit ke-89.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia