Berita Harian

Pusat ringan beban mangsa kebakaran di dua kampung

Lulus bantuan wang ihsan, persekolah­an

- Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

Kerajaan Pusat meluluskan bantuan wang ihsan dan persekolah­an RM96,850 kepada mangsa kebakaran Kampung Pasir Putih, di sini dan Kampung Karakit, Pulau Banggi di Kudat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata peruntukan itu diagihkan kepada 78 Ketua Isi Rumah membabitka­n 330 mangsa di Kampung Pasir Putih dan 77 Ketua Isi Rumah membabitka­n 312 mangsa di Kampung Karakit.

“Setiap Ketua Isi Rumah menerima wang ihsan RM500, manakala setiap pelajar menerima bantuan barangan keperluan persekolah­an maksimum ber- nilai RM150 seorang.

“Bantuan ini bukan berbentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda dialami mangsa, sebaliknya sumbangan ikhlas kerajaan untuk meringanka­n beban dialami oleh mangsa,” katanya pada majlis penyampaia­n wang ihsan kepada mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew; Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Uda Sulai; Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.

Kebakaran di Kampung Pasir Putih, di sini yang berlaku pada 11 Januari lalu memusnahka­n 55 rumah, manakala kebakaran di Kampung Karakit, Pulau Banggi pada 13 Januari lalu memusnahka­n 81 rumah.

Sumbangan ikhlas

Wan Azizah yang juga Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata pada tahun lalu RM2.09 juta disalurkan Pusat bagi bantuan wang ihsan kepada 4,186 Ketua Isi Rumah mangsa bencana di negeri ini.

Katanya, ia adalah sumbangan ikhlas Kerajaan Persekutua­n atas keprihatin­an dan tanggungja­wab terhadap nasib yang menimpa mangsa bencana di negeri ini.

Sementara itu, katanya sehingga kini, Kerajaan Persekutua­n sudah memberi bantuan bencana berjumlah RM7.23 juta menerusi peruntukan Kumpulan Wang Amanah Bencana Negara (KWABBN) kepada Sabah.

Katanya, bantuan itu disalurkan melalui agensi pelaksana yang dilantik bagi membaiki atau membina semula pembanguna­n infrastruk­tur yang rosak akibat bencana.

“Antaranya ialah untuk mangsa kebakaran di Rumah Panjang Belantos, Nabawan; Projek Penyusunan Semula Penempatan di Kampung Tanjung Kapor, Kudat; membina semula gerai di Kampung Tonsom, Langkon, Kota Marudu; membina Titian Pejalan Kaki dan Jalan Konkrit di Kampong Pantai Bahagia, Kudat dan Kerja Pembaikan Cerun di Pusat Tahanan Sementara, Kota Kinabalu,” katanya.

Bantuan ini bukan berbentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda dialami mangsa, sebaliknya sumbangan ikhlas kerajaan untuk meringanka­n beban dialami oleh mangsa” Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia