Berita Harian

6 TERKORBAN PUSAT HIBURAN TERBAKAR DI IPOH

Enam maut, dua cedera kebakaran awal pagi di pusat hiburan

- Oleh Muhammad Apendy Issahak, Farah Suhaidah Othman dan Balqis Jazimah Zahari

Pelan asal bangunan pusat hiburan yang mengorbank­an enam nyawa, termasuk dua lelaki warga tempatan di Times Square, Jalan Sultan Nazrin Shah, di sini semalam adalah bangunan pejabat, namun pemilik premis tidak mengemukak­an pertukaran status sejak pertukaran milik lebih 10 tahun lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, berkata beliau dimaklumka­n pelan asal bangunan berkenaan adalah milik sebuah syarikat pemaju hartanah yang bangunan pejabatnya terletak bersebelah­an premis terbabit.

Katanya, selepas syarikat pemaju berkenaan menjual kepada pemilik premis baharu, pihaknya tidak menerima pelan untuk pindaan bangunan daripada pemilik berkenaan.

“Pelan asal dalam simpanan bomba adalah bangunan pejabat, namun blok bangunan (pusat hiburan) itu sudah dijual kepada pemilik baharu, jadi bangunan itu ada berlaku change of use (perubahan kegunaan) untuk pusat hiburan.

“Bagaimanap­un, kita masih menyiasat sama ada mereka ada mengemukak­an pelan untuk pindaan dan kalau ikut pelan asal pejabat, ia mempunyai hose reel dan alat pengesan asap,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 5.30 pagi itu, dua lelaki warga tempatan iaitu Tai Chee Kin, 37, dan Lau Wai Hoong, 36, ditemui maut di tingkat lima premis berkenaan.

Turut ditemui maut, Chooi Keng Heem, 31, dua wanita warga Vietnam iaitu Ngu Yen Thi Trang, 19, dan Ngu Yen Thi Thuy Duong, 20, serta lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Johirul Islam, 26, yang ditemui di tingkat empat premis berkenaan.

7 mangsa diselamatk­an

Kejadian itu turut menyebabka­n dua cedera, manakala tujuh orang terdiri daripada lima lelaki dan dua perempuan pula berjaya menyelamat­kan diri.

Sayani berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian pihaknya dimaklumka­n 14 individu terperangk­ap dalam bangunan itu.

“Anggota berjaya mengawal kebakaran yang berpunca di tingkat empat premis dan siasatan awal mendapati mangsa yang menyedari kebakaran itu berlari ke tingkat lima.

“Seramai lapan mangsa terperangk­ap berjaya diselamatk­an, namun dua daripadany­a sesak nafas yang teruk dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, bomba menemui dua lelaki tempatan di tingkat lima bangunan dan menurunkan kedua-dua mayat pada jam 6.09 pagi, sebelum pemeriksaa­n di tingkat empat bangunan berkenaan menemui empat lagi mayat.

“Mayat seorang wanita warga Vietnam ditemui dalam sebuah bilik, manakala seorang lagi wanita warga sama dan seorang lelaki warga Bangladesh serta seorang lagi lelaki ditemui dalam bilik air bilik sama sebelum semua dibawa keluar jam 11.40 pagi,” katanya.

Sayani berkata, semua mangsa yang mati dipercayai disebabkan sesak nafas akibat asap tebal, namun satu daripada mayat lelaki tempatan yang ditemui mengalami sedikit kesan lecur.

Beliau berkata, ketika operasi dijalankan, bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk memecahkan dinding dan cermin bangunan bagi membebaska­n udara.

Miliki lesen

Sementara itu, jurucakap Pejabat Daerah dan Tanah Kinta berkata, mengesahka­n bangunan itu memiliki lesen pusat hiburan yang sah yang dikeluarka­n pihak Pejabat Daerah dan Tanah, namun semua pusat hiburan di daerah itu hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 1 pagi pada hari biasa dan sehingga jam 2 pagi malam minggu.

“Sekiranya berlaku pelanggara­n syarat ditetapkan, tindakan dan siasatan akan diambil mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Perak 1997," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini akhbar melaporkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak sudah membekukan pengeluara­n sebarang lesen pusat hiburan, malah Pengerusi Jawatankua­sa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkut­an Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong, dilaporkan berkata sekiranya terdapat mana-mana pihak yang menjalanka­n operasi premis secara haram, perkara itu boleh dimaklumka­n kepada kerajaan negeri.

Choo Kiong turut dipetik sebagai berkata, pengeluara­n lesen kini di bawah pejabat daerah dan tanah, bukan lagi PBT, sementara operasi penguat kuasaan dilakukan polis.

Pelan asal dalam simpanan bomba adalah bangunan pejabat, namun blok bangunan (pusat hiburan) itu sudah dijual kepada pemilik baharu, jadi bangunan itu ada berlaku change of use (perubahan kegunaan) untuk pusat hiburan. Bagaimanap­un, kita masih menyiasat sama ada mereka ada mengemukak­an pelan untuk pindaan” Sayani Saidon, Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak

 ??  ??
 ??  ??
 ?? [FOTO ABDULLAH YUSOF /BH] ?? Mayat mangsa kebakaran sebuah pusat hiburan di Times Square, Ipoh dibawa keluar, semalam.
[FOTO ABDULLAH YUSOF /BH] Mayat mangsa kebakaran sebuah pusat hiburan di Times Square, Ipoh dibawa keluar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia