Berita Harian

‘Perbincang­an dibayangi isu maritim, ruang udara’

-

Singapura: Perbincang­an mengenai Perjanjian Air 1962 antara Singapura dengan Malaysia dibayangi oleh isu maritim dan ruang udara, kata Kementeria­n Luar, Singapura.

Dalam kenyataan dikeluarka­n di sini, jurucakap MFA berkata, dalam pertemuan antara Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 12 November 2018, “kedua-dua pemimpin menyatakan kesediaan untuk pegawai berbincang dengan lebih lanjut bagi lebih memahami kedudukan setiap pihak ke atas hak untuk menyemak semula harga air di bawah Perjanjian Air 1962.”

Jurucakap itu berkata, Peguam Negara kedua-dua negara kemudian mengadakan pertemuan pada Disember 2018.

“Bagaimanap­un, perbincang­an mereka dibayangi isu baharu yang timbul mengenai Had Pelabuhan Johor Bahru dan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen Seletar (ILS),” katanya.

Kenyataan itu dikeluarka­n sebagai mengulas pertanyaan media terhadap komen oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah, kelmarin.

Terdahulu, Saifuddin dilaporkan berkata, rundingan semakan semula harga air mentah dengan Singapura dibekalkan Malaysia kepada Singapura bermula sejak sebulan lalu.

Beliau berkata, rundingan itu dilakukan Peguam Negara, Tommy Thomas, dengan peguam negara republik berkenaan dan beberapa pertemuan lagi akan diadakan berhubung perkara itu.

“Perbincang­an mengenai perjanjian air sudah bermula. Kita ada lapan perkara sedang dirunding dengan Singapura dan perjanjian air adalah satu daripadany­a.

“Ini (kejayaan memulakan rundingan) kita anggap penting kerana sebelum ini, kita tidak dapat duduk semeja mengenai isu itu,” katanya selepas melawat Rohingya Education Centre (REC) Klang, Selangor, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia