Berita Harian

Menu terlebih kas-kas punca pengunjung positif dadah

Anggota polis gagal ujian dadah selepas makan nasi kandar

- Oleh Safeek Affendy Razali dan Noor Hidayah Tanzizi

Sebuah restoran nasi kandar di Teluk Intan, Perak, diperiksa kelmarin, selepas sebahagian menu makanannya dipercayai mengandung­i kas-kas berlebihan hingga menyebabka­n pengunjung­nya positif dadah apabila dibuat saringan air kencing.

Pemeriksaa­n itu dilakukan selepas seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, yang makan di restoran berkenaan didapati positif dadah ketika ujian saringan air kencing dilakukan terhadap pegawai dan anggota polis di daerah berkenaan Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata pihaknya berasakan ada sesuatu tidak kena selepas anggota yang mempunyai rekod perkhidmat­an baik dan sihat tubuh badan dikesan positif dadah.

“Hasil temu bual ke atas anggota terbabit, dia mendakwa makan di sebuah restoran nasi kandar sebelum hadir pemeriksaa­n ujian air kencing bersama tiga lagi anggota polis lain sebelum saringan sama turut dilakukan ke atas tiga anggota terbabit.

“Paling mengejutka­n, ketiga-tiga mereka juga turut didapati positif dadah, sebelum polis menghantar dua lagi anggota yang sebelum itu mempunyai rekod bersih ujian air kencing ke restoran sama untuk mencuba makanan dijual,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing yang dilakukan selepas itu mendapati mereka turut positif dadah.

Ambil sampel makanan

“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Hilir Perak dan Kementeria­n Kesihatan melakukan pemeriksaa­n semalam (kelmarin) dan mengambil sembilan sampel makanan dipercayai mengandung­i rempah ratus kaskas atau biji popi.

“Selain itu, polis turut melakukan saringan air kencing terhadap tiga pekerja restoran berkenaan yang juga tukang masak dan pembantu tukang masak sebelum mendapati semua mereka positif jenis opiat atau candu,” katanya.

Tiga pekerja premis berkenaan berusia antara 30 hingga 70-an ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Razarudin berkata, pihaknya bimbang terhadap tangkapan membabitka­n orang awam yang mungkin sebelum itu turut menikmati makanan dari restoran sama.

“Kami sudah mengarahka­n semua pegawai dan anggota polis menjalanka­n pemeriksaa­n ujian air kencing terhadap orang awam untuk mendapatka­n maklumat lanjut daripada individu yang diperiksa sebelum sampel air kencing dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut.

“Ini bagi memastikan individu yang ditahan selepas positif dadah akibat makan di restoran sama mendapat proses siasatan adil,” katanya.

Katanya, pada masa ini pihaknya masih menunggu keputusan laporan Jabatan Kimia sebelum tindakan lanjut dilakukan.

Sementara itu, operasi bersepadu dijalankan di restoran berkenaan dilakukan pada jam 11.20 pagi selepas menerima aduan pelanggan yang mengalami gejala lemah dan khayal selepas makan di situ.

Pegawai polis dan Jabatan Kesihatan kemudian merampas beberapa jenis masakan seperti kuah makanan, ayam goreng, sayur dan nasi putih, selain sebungkus plastik lut sinar mengandung­i biji kas-kas untuk dihantar ke Jabatan Kimia Ipoh bagi pemeriksaa­n.

“Pemilik premis memaklumka­n masakan tidak menggunaka­n sebarang bahan terlarang atau mengkhayal­kan, namun bahan masakan seperti kas-kas ada digunakan tukang masak,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia