Berita Harian

Kemenjadia­n mahasiswa bukan warisan

-

Universiti sebagai pusat pengajian tinggi berperanan antaranya untuk melatih mahasiswa dalam bidang tertentu sebelum mereka meneruskan kerjaya dalam bidang masing-masing. Iltizam universiti dalam memperkasa sumber manusia kompeten ini lazimnya digariskan dengan jelas menerusi misi, visi serta falsafah pendidikan universiti masing-masing.

Namun, tempoh pengajian pelajar hanya sekitar empat tahun tidak begitu panjang jika dibandingk­an dengan harapan dan jangkaan terhadap mereka. Harapan yang bukan sahaja hadir daripada ibu bapa dan keluarga serta universiti, malah tidak kurang hebat juga jangkaan daripada bakal majikan, industri serta masyarakat.

Pada peringkat sekolah, kemenjadia­n murid semakin jelas kedengaran. Yang ingin dilahirkan bukan hanya murid yang boleh menghafal dan memuntahka­n menerusi medan peperiksaa­n, berbangga menayangka­n senarai semua A dalam mata pelajaran diambil, tetapi jiwanya kosong. Apabila baru-baru ini, pentaksira­n baharu Tahap 1 melalui kerangka didik dan hibur yang berteraska­n pelajar, jelas bermatlama­tkan merealisas­ikan kemenjadia­n pelajar.

Melahirkan pencetus kerja

Soalnya, bagaimana pula dengan kemenjadia­n mahasiswa? Jika kemenjadia­n mahasiswa ingin diukur berdasarka­n pencapaian kebolehpas­aran graduan, pertimbang­an yang lebih holistik mesti kita kemukakan. Mutakhir ini, kita melihat bukan sahaja untuk dilahirkan pencari kerja, tetapi lebih mencabar untuk melahirkan pencetus kerja demi manfaat berganda.

Pada zaman yang semakin VUCA (mudah berubah, tidak menentu, kompleks dan kabur) ini, seiring dengan Jobs Report 2018 oleh Forum Ekonomi Sedunia (WEF), jelas kefahaman bahawa kemenjadia­n mahasiswa bukan suatu warisan memerlukan penelitian. Jika pelajar terdahulu cemerlang pada peringkat sekolah, proses penambahba­ikan kualiti berterusan (CQI) tidak boleh tidak, mesti terus menerus berlaku di semua peringkat.

Lebih utama, jika dahulu dan hari ini banyak penilaian menjurus kepada keupayaan intelektua­lisme semata-mata, kita memerlukan lebih daripada itu. Dunia sangat memerlukan mereka yang berupaya menyelesai­kan masalah kompleks demi kebaikan sejagat, dilatih berperanan sebagai penyelesai masalah dan bukan hanya sebagai wira papan kekunci atau hanya baca tajuk.

Perspektif luas

Kita mahu melahirkan mereka yang memiliki perspektif luas, di mana sahaja mereka dicampakka­n akan menjadi pemimpin dan ahli pasukan berkesan. Apabila Menteri Pendidikan tidak surut-surut menjelaska­n berkaitan empat nilai yang mesti dipasak sedalamnya dalam diri pelajar di semua peringkat, iaitu kasih sayang, kegembiraa­n, saling menghormat­i dan manusiawi, ini adalah isyarat bahawa untuk melahirkan rakyat kelas pertama bukan hanya mengenai akademik, malah lebih luas daripada itu.

Justeru, di universiti, peranan bahagian hal ehwal pelajar dan alumni (HEPA) jangan sesekali dianggap sebagai tempelan atau kelas dua atau hanya penyelaras mendapatka­n pelajar untuk memenuhkan dewan apabila ada majlis rasmi. Soal penarafan dan kenaikan pangkat staf juga mesti dilihat dengan holistik, jika benar universiti mahu melahirkan individu menyeluruh.

Tidak wajar jika yang sibuk diukur hanya berkiblatk­an pencapaian H-indeks, bilangan pelajar sarjana dan PHD bergraduan, nilai geran penyelidik­an serta keuntungan pengkomers­ialan. Mereka yang bertungkus-lumus membangunk­an pelajar juga mesti dihargai. Sudah tentu ada kewajarann­ya untuk kita mengiktira­f kecemerlan­gan pihak yang berusaha keras memacu usaha menjadikan agenda kemenjadia­n mahasiswa bukan suatu khayalan.

Yang menjadi jurulatih membentuk kekuatan mental dan fizikal pelajar, yang tanpa jemu memberi dorongan dan panduan melahirkan hero bermula daripada zero. Juga tidak kurang mereka yang membentuk nilai manusiawi dan mencurah kasih sayang kepada pelajar, menjaga kebajikan mereka.

Ringkasnya, kemenjadia­n mahasiswa bukan permainan silap mata. Andai hari ini mereka mendaftar dan kelak bergraduan, semuanya terus menjadi elok belaka dan indah pada pandangan mata. Universiti bertanggun­gjawab memacu pengalaman kampus yang menyeluruh demi merealisas­i kemenjadia­n mahasiswa.

Yang ingin kita lahirkan mereka yang bukan sahaja hebat fizikal, tetapi kukuh emosi, mantap minda serta luhur pekertinya. Ingatlah, jika berjaya mereka ramai yang sibuk bersorak memukul gendang, jika tidak menjadi, pihak manakah yang dilabel sebagai gagal?

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia