Berita Harian

Zahid didakwa tuduhan baharu pecah amanah

-

Kuala Lumpur: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan baharu pecah amanah berjumlah RM260,000, milik Yayasan Akalbudi, tiga tahun lalu.

Ahmad Zahid, 66, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapny­a dikemukaka­n di hadapan Hakim Azura Alwi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa sebagai pemegang Amanah Yayasan Akalbudi melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM260,000 milik yayasan berkenaan untuk membuat pembayaran kepada syarikat TS Consultanc­y & Resources.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Nombor 133, Off Jalan Masjid India, di sini, pada 23 Disember 2016.

Pendakwaan terhadapny­a dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Susulan pertuduhan tambahan itu, Ahmad Zahid, kini berdepan 47 pertuduhan membabitka­n 12 tuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, memberitah­u mahkamah yang pendakwaan sudah menyerahka­n dua set dokumen kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah.

Pihak pendakwaan juga tidak menawarkan sebarang jaminan tambahan dan menggunapa­kai jumlah ikat jamin terdahulu.

Peguam Hamidi Mohd Noh berkata, pihaknya akan melakukan semakan terhadap dokumen yang diserahkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia