Berita Harian

Polis masih siasat dakwaan Nik Abduh ada kaitan CIA

-

Shah Alam: Polis masih menyiasat dakwaan Ahli Jawatankua­sa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, ada hubungan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis tidak boleh mengulas lanjut dakwaan itu kerana masih di peringkat awal siasatan.

“Perkara ini masih di peringkat awal siasatan,” katanya pada sidang media selepas menyempurn­akan istiadat penganuger­ahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Selangor kepada 318 penerima pelbagai pangkat di sini, semalam.

Pengakuan YB Bachok

Sebelum ini, Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) membuat aduan polis terhadap Nik Abduh mengenai kaitan dengan CIA itu berikutan rakaman audio pengakuan Ahli Parlimen Bachok itu yang viral yang kemudian disahkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Dalam perkembang­an lain, Noor Rashid berkata polis akan merekod keterangan semua 47 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan agensi pekerjaan di Kemboja.

Beliau berkata, keterangan mangsa itu bagi membantu siasatan berhubung kaitan sindiket yang dipercayai didalangi rakyat tempatan dan di Kemboja.

“Siasatan ini penting bagi mengetahui siapa yang membawa, yang memujuk dan apa yang dijanjikan kepada mereka.

“Sebab itu, langkah pertama kita hendak tahu apa cerita sebenar sama ada wujud unsur penipuan, dorongan, tipu daya atau sebagainya,” katanya.

Beliau berkata sekiranya semua janji ini tidak dipenuhi, ia bermakna sudah berlaku kegiatan pemerdagan­gan manusia yang akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagan­gan Orang dan Penyeludup­an Migran (ATIPSOM) 2007.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia