Berita Harian

‘Kurang guna dalam perbualan seharian’

-

Kuala Lumpur: “Kami pun serba salah, isteri orang Banjar tetapi saya orang Jawa, terpaksa cakap bahasa Melayu dengan anak,” kata Selamat Abu, mengenai dilema golongan muda kurang mahir bercakap bahasa ibunda mereka.

Bagi bapa kepada lima anak ini, mereka terpaksa mengetepik­an bahasa ibunda, kerana mahu bercakap dalam keadaan selesa dan mudah difahami.

Namun, Selamat, 49, mahukan semua anaknya yang berusia 10 hingga 23 tahun menguasai satu daripada dua bahasa, sama ada Banjar atau Jawa bagi memastikan warisan bangsa itu terus kekal.

“Saya bernasib baik kerana ibu mentua (Zahrah Abd Karim, 70) tinggal bersebelah­an. Dia selalu bercakap bahasa Banjar dengan anak. Anak saya masih boleh bertutur bahasa Banjar, walaupun tidak lancar,” katanya yang mahir bertutur bahawa Jawa dan kini berniaga pisang goreng di Parit 6 Timur, Sungai Besar, Selangor.

Bahasa Banjar kurang digunakan

Penjaja ini sebahagian responden kajian BH mengenai isu bahasa suku Banjar yang dikatakan semakin pupus, kerana kurang digunakan dalam perbualan harian.

Sebelum ini BH melaporkan, hanya generasi berusia 50 tahun ke atas yang masih aktif dan boleh bertutur bahasa suku dengan baik, manakala golongan 40 tahun ke bawah semakin pudar penguasaan mereka.

Anak Selamat, Mohd Fayyadh Selamat, 20, mengakui golongan muda sepertinya semakin kurang bertutur bahasa Banjar, disebabkan ramai yang merantau kerana belajar atau bekerja di luar penempatan asal.

“Saya masih boleh bertutur bahasa Banjar, tetapi kurang mahir dan cuma berbual dengan ahli keluarga. Ada rakan yang tinggal di sini masih fasih bercakap bahasa Banjar,” katanya yang menetap di Seri Kembangan dan bekerja di Puchong, Selangor.

Satu lagi pasangan kahwin campur yang menghadapi dilema sama ialah Nurhusna Hanis Mohd Yassin, 30, kini menetap di Sabak Bernam.

Guna bahasa Melayu elak keliru

Nurhusna Hanis dan suaminya, Sharizal Abu Nazri, 29, kini menjual kuih di pekan Sabak Bernam dan menggunaka­n bahasa Melayu sebagai perantaraa­n.

“Saya boleh berbual dalam bahasa Banjar kerana membesar di sini dan ibu bapa saya adalah orang Banjar. Apabila menyambung pelajaran ke Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM) dan tinggal berjauhan dengan keluarga, saya mula rasa kekok untuk bersembang bahasa Banjar,” katanya.

Menurut Nurhusna Hanis, selepas berkahwin dengan Sharizal yang berketurun­an Melayu dari Perak, Nurhusna mula kembali bertutur bahasa Banjar kerana tinggal berhampira­n keluarga, serta penempatan asal suku berkenaan di Sabak Bernam.

“Memang kahwin campur menyebabka­n kita tinggalkan bahasa ibunda. Tetapi semua ini boleh diperbaiki jika pasangan sanggup belajar dan saya memang menyokong idea kelas bahasa suku di sekolah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia