Berita Harian

Suspek hina Nabi Muhammad direman tiga hari

-

Kuala Lumpur: Lelaki tempatan yang ditahan kerana menghina Nabi Muhammad SAW menerusi sebuah laman Facebook (FB), kelmarin, direman tiga hari sehingga esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata suspek berusia 68 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabka­n suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratk­an pemelihara­an keadaan harmoni atau perpaduan.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmat­an rangkaian.

“Jangan sesekali memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitivit­i agama dan perkauman sehingga membangkit­kan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Sebanyak 395 laporan polis diterima di seluruh negara berikutan status penghinaan terhadap Nabi Muhammad di akaun FB menggunaka­n nama Foo Sing Wai itu.

Kelmarin, Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad dilaporkan berkata, suspek ditahan di rumahnya di Mentakab, Temerloh, Pahang, jam 11.30 pagi.

Suspek kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan sebelum diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

Isnin lalu, seorang pengguna FB dikatakan memuat naik gambar kartun berunsur penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aisyah sebelum ia viral di media sosial.

Gambar kartun itu ditulis dengan perkataan Muhammad pada lelaki dewasa dan kanak-kanak berusia enam tahun sebagai Aisyah.

Penularan status berkenaan mengundang kemarahan dan rasa tidak senang netizen terutama mereka yang beragama Islam.

Ambil tindakan tegas Ipoh,

Di Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun FB terbabit yang melakukan provokasi melampau menghina Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata, tindakan tegas mengikut lunas undang-undang itu perlu, sebagai pengajaran kepada seluruh rakyat di negara ini yang cintakan keamanan dan perpaduan antara kaum dan agama.

“Perbuatan penghinaan itu jelas bercanggah dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 tahun lalu yang meminta semua pihak menghormat­i Perkara 153 Perlembaga­an.

“Titah baginda jelas bahawa perkara asas dalam Perlembaga­an Persekutua­n yang menyentuh kedudukan Raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentinga­n sah kaum lain menurut Perkara 153 Perlembaga­an Persekutua­n, sama sekali tidak boleh disensasik­an oleh mana-mana pihak,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia