Berita Harian

Minat bidang seni

Selain menari, Nuraffendi ceburi juruhebah radio sambilan

- Oleh Nor Azma Laila

Biarpun mengikuti pengajian dalam jurusan sains, pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Nuraffendi Mohamad Amanah tidak pernah menjadikan­nya sebagai alasan untuk menghalang beliau bergiat aktif dalam bidang seni.

Buktinya, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi Marin itu kini menjadi penari untuk Kumpulan Kesenian Persadatar­i UMT, malah dilantik sebagai timbalan presiden kumpulan berkenaan.

Bercerita mengenai detik awal pembabitan dalam bidang tarian, Muhammad Nuraffendi berkata, semua berlaku pada tahun 2015 apa- bila beliau diminta menjadi penari bidan terjun untuk Kumpulan Kesenian Persadatar­i yang ketika itu kekurangan penari lelaki.

“Saya bersetuju berbuat demikian kerana mahu membantu pasukan tarian UMT yang perlu menyertai pertanding­an tarian di Kuala Lumpur, tetapi tidak sangka pula keputusan itu menjadi titik tolak kepada pembabitan saya dalam bidang tarian hingga ke hari ini.

Sertai pertanding­an

“Selepas menyertai pertanding­an itu, saya diminta menjalani uji bakat untuk diserapkan sebagai ahli tetap Kumpulan Kesenian Persadatar­i dan kini mewakili kumpulan membuat persembaha­n dan menyertai pertanding­an di dalam serta luar UMT,” katanya.

Sepanjang bergiat aktif sebagai penari, anak sulung daripada tiga beradik itu pernah menyertai beberapa pertanding­an, termasuk berjaya meraih tempat kedua dalam Festival Tari Drama Filem Kebangsaan 2018 yang diadakan di UMT.

“Saya paling gemar membuat persembaha­n tarian tradisiona­l zapin dan jika tarian moden pula, saya memilih tarian hip-hop.

“Meskipun begitu, saya juga mampu membuat pelbagai jenis tarian termasuk inang, joget, tarian rakyat, kontempora­ri, balet, dan gabungan beberapa jenis tarian,” katanya.

Minat kerjaya juruhebah

Bagi memastikan kemahiran menari sentiasa berada pada tahap terbaik, anak kelahiran Muar, Johor itu menjalani sesi latihan setiap Rabu dan Khamis, bermula jam 9 malam hingga 12 tengah malam.

Selain aktif sebagai penari, anak muda itu turut menyimpan hasrat untuk bergelar juruhebah radio satu hari nanti.

“Disebabkan banyak mendapat pendedahan dalam bidang seni, saya mula meminati kerjaya sebagai juruhebah radio dan kini bekerja secara sambilan di stesen radio UMT.

“Selain mendapat ilmu dalam bidang pengajian sains, saya bersyukur minat dalam seni membuka peluang kepada saya untuk meneroka bidang baharu, sekali gus mempelbaga­ikan kemahiran apabila menamatkan pengajian kelak,” katanya.

 ??  ?? Muhammad Nuraffendi aktif sebagai penari kumpulan Kesenian Persadatar­i UMT.
Muhammad Nuraffendi aktif sebagai penari kumpulan Kesenian Persadatar­i UMT.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia