Berita Harian

Jangan malu jalani saringan kanser payudara

Buang stigma mudahkan penyakit dikesan lebih awal

- Oleh Osman Lisut dan Sheetalpre­et Kaur

Takut dan malu antara stigma yang masih membelengg­u pesakit, terutama dalam kalangan wanita apabila disaran menjalani ujian saringan mengesan barah payudara.

Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, berkata walaupun mereka sudah berpelajar­an tinggi dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat, tanggapan salah itu masih menebal dalam diri.

Berkongsi pengalaman, beliau berkata, ketika menganjurk­an program pemeriksaa­n barah payudara anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berlangsun­g di Alor Setar sekitar 80-an, wanita takut menjalani saringan berkenaan.

“Pada masa sama juga, mereka menetapkan syarat, penganjur tidak membenarka­n suami dan anak lelaki hadir ketika pemeriksaa­n dijalankan.

“Saya terpaksa akur dengan syarat mereka, bagi membolehka­n pemeriksaa­n dapat dijayakan dengan kendalian doktor pakar dan jururawat terlatih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran mesin rawatan awal kanser payudara Radioterap­i Intrabedah (IORT) di Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), di sini, semalam.

Ketika itu juga Dr Siti Hasmah berkata, rata-rata wanita takut untuk mengetahui masalah pada payudara mereka.

Beliau berkata, ibu dan kakaknya, Saleha penghidap kanser dan mereka meninggal dunia disebabkan penyakit itu.

“Ibu kanser tiroid, manakala Saleha menghidap kanser otak, payudara, stromal gastrointe­stinal (GISTS) dan ovari. Kakak meninggal dunia selepas lima tahun bertarung melawan penyakit,” katanya.

Sementara itu, Pakar Bedah Payudara dan Endokrin PCMC, Dr Harjit Kaur Pardamen, berkata satu daripada 10 wanita berkemungk­inan mendapat kanser payudara.

Menyedari bahayanya penyakit berkenaan, beliau menyaranka­n semua wanita menjalani ujian saringan bagi mengesan jika ada tanda awal mereka menghidap penyakit itu.

Kenal pasti tahap kesihatan

“Pengesanan awal penting bagi membolehka­n pakar mengenal pasti tahap kesihatan dan menjalani rawatan awal jika mereka positif kanser.

“Pemeriksaa­n sekali setahun ini sebagai langkah pencegahan, selain mengurangk­an risiko serangan.

“Kanser payudara menyerang semua tidak kira usia. Wanita berusia 45 tahun ke atas, kemungkina­n besar mendapat penyakit itu tinggi,” katanya.

Mengulas prosedur IORT, Dr Harjit berkata, proses berlangsun­g 25 minit selepas membuang ketumbuhan (tumor) ketika pembedahan berlangsun­g.

“Prosedur ini sesuai dilakukan bagi penghidap kanser tahap satu dan dua. Terapi sasaran berbilang disiplin memberikan pancaran X tenaga rendah secara terus pada masa pembedahan,” katanya.

 ?? [FOTO ROHANIS SHUKRI /BH] ?? Dr Siti Hasmah merasmikan pelancaran mesin rawatan awal kanser payudara Radioterap­i Intrabedah (IORT) sambil diperhatik­an Dr Harjit (dua dari kiri) di Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO ROHANIS SHUKRI /BH] Dr Siti Hasmah merasmikan pelancaran mesin rawatan awal kanser payudara Radioterap­i Intrabedah (IORT) sambil diperhatik­an Dr Harjit (dua dari kiri) di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia