Berita Harian

Abu Sayyaf ugut penggal warga Malaysia

-

Kota Kinabalu: Militan Abu Sayyaf yang menjadikan nelayan Indonesia dan Malaysia sebagai tebusan, mengancam untuk memenggal semua mangsa melainkan jika menerima wang tebusan.

Video yang muncul di Facebook pada 14 Februari lalu memaparkan seorang lelaki Indonesia dengan leher diacu pisau merayu Presiden negaranya dan pihak berkuasa berunding bagi membebaska­n mereka.

Video itu dimuat naik seorang pengguna dengan nama Kim Hundin pada jam 5 pagi (waktu tempatan), 14 Februari lalu dan dipercayai disunting terlebih dahulu.

Kedua-dua tebusan dengan muka bertutup yang kelihatan dalam rakaman berkenaan dipercayai sebagai rakyat Indonesia, Heri Ardiansyah, 19 dan Hariadin, 45.

Mereka diculik bersama seorang lagi rakyat Malaysia, Jari Abdulla, 24, dari kapal pukat yang berlabuh di Sandakan, berhampira­n gugusan kepulauan Tawi Tawi milik Filipina, 5 Disember lalu.

Video berkenaan muncul beberapa hari selepas isteri Jari, Nadin Junianti Abdullah dihubungi anggota Abu Sayyaf yang memberitah­u, mereka tidak menerima sebarang panggilan dari pihak berkuasa Malaysia atau perunding untuk berbincang mengenai pembebasan kesemua tawanan.

Pada kadar segera

Anggota berkenaan yang bercakap di dalam bahasa Melayu pasar berkata, suami wanita itu akan mengalami masalah jika kumpulan terbabit tidak menerima sebarang panggilan dari kerajaan Malaysia.

Menerusi panggilan yang diterima pada jam 7 petang (waktu tempatan) 11 Februari itu, kumpulan terbabit turut meminta nombor telefon wartawan Malaysia.

Ketika ditemui di Sandakan pada 14 Februari, Nadin menggesa pihak berkuasa membebaska­n suaminya pada kadar segera.

Beliau mendakwa sudah dihubungi sebanyak dua kali oleh militan terbabit.

Sementara itu Ketua Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pihak polis sedang bekerjasam­a rapat bersama rakan sejawat di Filipina untuk membantu menyelamat­kan kesemua tebusan. AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia