Berita Harian

Singa Utara kena ‘kad merah’

-

Kuala Lumpur: Status penyertaan Perlis dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini akhirnya terjawab selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyingkir­kan skuad Singa Utara itu berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu diambil sebulat suara oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas mendapati pasukan itu tidak memiliki jaminan kukuh daripada struktur kewangan untuk terus bertahan musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya sudah memberi bantuan dan ruang secukupnya bagi Perlis mengatasi masalah kewangan untuk mengelak daripada berlaku kesan lebih buruk kepada pemain dan Liga M.

Bagaimanap­un, Kevin berkata selepas meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), pihaknya mendapati sumber kewangan pasukan itu tidak mencukupi.

“Selepas mengambil kira segala aspek, kami sebulat suara membatalka­n penyertaan Perlis. Faktor utama keputusan pembatalan Perlis bermain Liga Perdana musim ini disebabkan kegagalan mereka mengatasi masalah kewangan serta tidak mempunyai perancanga­n kewangan yang meyakinkan untuk mereka terus bertahan.

Lanjut tempoh pendaftara­n

“Selain kes Perlis, MFL turut mengkaji enam lagi pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji tetapi buat masa ini kami mengumumka­n dahulu keputusan membabitka­n Perlis kerana ia adalah kes lebih berat dan mendapat perhatian ramai pihak. Kami kini sedang menilai kes enam lagi pasukan dan akan mengumumka­n keputusan dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, skuad Perlis mencuri tumpuan ramai apabila berjaya memikat beberapa pemain bintang termasuk Safee Sali menyertai pasukan itu.

Namun, belum pun wisel sepak mula ditiup pada 1 Februari lalu, peminat dikejutkan apabila PFA didakwa gagal membayar gaji pemain yang berlarutan hingga hari ini.

Untuk rekod, skuad Singa Utara meraih slot Liga Perdana bagi menggantik­an Petaling Jaya City (dulu dikenali MIFA) yang ‘naik pangkat’ beraksi di Liga Super selepas penarikan diri Felcra FC.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL turut bersetuju untuk melanjutka­n tempoh pendaftara­n membabitka­n pemain Perlis sehingga 20 Mac ini.

“Kami prihatin dengan kemelut yang dihadapi pemain Perlis. Justeru, kami bersetuju untuk melanjutka­n tempoh pendaftara­n pemain Perlis selama 30 hari bermula hari ini, bagi memberikan ruang kepada mereka mencari pasukan baharu memandangk­an tempoh pendaftara­n pemain akan ditutup pada jam 11.59 malam ini (tadi),” kata Kevin.

Selepas mengambil kira segala aspek, kami sebulat suara membatalka­n penyertaan Perlis” Kevin Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia