Berita Harian

‘Penyingkir­an tindakan tepat’

Bekas pemain sifatkan tindakan MFL singkir Singa Utara tepat, jadikan pengajaran

- Oleh Fitrie Mohamad dan Zulfaizan Mansor

Bekas pemain Perlis menganggap tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalka­n penyertaan Singa Utara dalam Liga Malaysia (Liga M) sebagai tindakan yang tepat dan harus dijadikan pengajaran kepada pasukan lain.

MFL semalam membatalka­n penyertaan Perlis selepas mendapati pasukan berkenaan tidak mempunyai kewangan yang kukuh termasuk berdepan masalah tunggakan gaji sejak awal musim ini.

Bekas perancang tengah Singa Utara, Mohd Badhri Radzi menjelaska­n hukuman itu memang sepatutnya di ambil MFL bagi mengelak lebih banyak masalah yang timbul termasuk mengenai masa depan pemain.

“Ia pengajaran kepada pasukan lain supaya benda seperti ini tidak berlaku lagi. Setiap pasukan perlu jujur, kalau tiada duit cakap tiada duit dan usah tabur macammacam janji.

“Bila berlaku kes macam ini ia pasti merosakkan bola sepak Malaysia. Contohnya ia satu kerugian buat pasukan lain yang sudah menang (ke atas Perlis),” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Boleh ‘bunuh’ pemain

Selain berdepan masalah gaji, Perlis juga didakwa gagal melunaskan beberapa perbelanja­an lain termasuk jumlah sewa padang latihan di Universiti Malaya (UM).

Untuk rekod, Singa Utara dinaikkan pangkat ke Liga Perdana musim ini selepas Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) berjaya meyakinkan MFL dengan perancanga­n awal mereka untuk menjadi pesaing utama termasuk mengikat beberapa pemain berstatus bintang.

Sementara itu, bekas penyerang kebangsaan Safee Sali pula berpendapa­t tindakan Perlis boleh ‘membunuh’ pemain khususnya mereka yang baharu saja terbabit dalam arena bola sepak profesiona­l.

“Bagi pemain seperti saya mungkin ada pasukan mahu tetapi kalau pemain muda? Tolonglah fikirkan kepada pemain muda yang baharu ceburi bola sepak secara profesiona­l”.

“Itu membunuh karier dan semangat pemain muda. Sebenarnya itu yang saya risaukan kerana merekalah yang akan warisi pemain sekarang. Kalau kita bunuh semangat dan karier mereka, siapa yang akan ganti tempat kami selepas ini?,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia