Berita Harian

Enam ditahan miliki syabu, senapang turut dirampas

-

Kuching: Enam penganggur ditahan polis kerana disyaki memiliki syabu bernilai RM2,025 di Simpang Ngu Jalan Bintulu-miri Batu Niah, Isnin lalu.

Dalam serbuan serentak oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak ke atas dua rumah pada jam 11.30 malam, berjaya merampas syabu dengan berat 13.5 gram daripada suspek berusia 24 hingga 37 tahun.

Polis temui 18 tiub paket lutsinar

Ketua JSJN Sarawak, Suprintend­an Sahar Abdul Latif, berkata polis menjumpai 18 tiub berisi ketulan kristal disyaki syabu, dengan berat lima gram ketika serbuan di rumah pertama.

“Hasil pemeriksaa­n di rumah kedua pula, polis menemui tiga paket plastik lutsinar disyaki syabu dengan berat 8.5 gram.

“Selaras senapang patah buatan sendiri turut dirampas di rumah sama.

“Selepas siasatan dibuat, dipercayai aktiviti pengedaran dadah di kawasan terbabit bermula sejak tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah amphetamin­e atau methamphet­amine.

“Dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan empat yang lain direman selama empat hari bermula Selasa lalu hingga Jumaat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia