SPRM TERIMA LAPORAN HASIL SIASATAN DUA URUS NIAGA TUKAR TANAH MINDEF
Ada campur tangan politik keterlaluan, kecuaian tadbir urus
Kementerian Pertahanan membuat laporan dan menyerahkan hasil siasatan urus niaga dua daripada 16 projek land swap (tukar tanah) berlaku di tanah milik kementerian itu yang menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan selain mengancam kepentingan strategik pertahanan negara.
Laporan dan penyerahan hasil siasatan dibuat oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaei Ismail di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, supaya suruhanjaya itu menyiasat pihak berkaitan, terutama dalam pentadbiran lalu yang terbabit secara langsung dalam memutuskan projek berkenaan.
Katanya, dua projek land swap itu membabitkan pembinaan Kem Paloh di Johor dan Kem Hutan Melintang di Perak.
Beliau menjelaskan, kedua-dua projek itu dijalankan oleh pihak swasta hasil pertukaran tanah tapak Kem Kinrara di Selangor dan Kem Rasah di Negeri Sembilan.
“Terdapat campur tangan politik keterlaluan dan kecuaian tadbir urus dalam pelaksanaan keduadua projek ini yang menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan.
“Pembinaan Kem Paloh dan Kem Hutan Melintang tidak termasuk dalam perancangan pihak Kementerian Pertahanan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMKE-11), namun arahan dikeluarkan untuk membina kedua-dua kem itu atas faktor politik.
“Pada asalnya, Kementerian Pertahanan pada ketika itu merancang untuk membina Kem 1 Briged di Port Dickson sebagai salah satu gantian kepada tapak Kem Kinrara secara land swap, namun dibatalkan dan digantikan pembinaan Kem Paloh dalam Parlimen Sembrong, Johor,” katanya ketika ditemui pada sidang media di sini, semalam.
Arahan politik
Bagi projek Kem Hutan Melintang di Parlimen Bagan Datuk, Mohd Nasaei mendakwa terdapat bukti dan arahan politik serta pembabitan secara langsung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha memindah dan menambah pengundi tentera dan keluarga mereka di kem yang membabitkan kedua-dua Parlimen berkenaan.
“Terdapat keraguan dalam penilaian tanah asal projek land swap ini apabila pentadbiran terdahulu di bawah kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menetapkan nilai tanah tapak Kem Kinrara berjumlah RM500 juta, sedangkan penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) adalah RM758 juta.
“Begitu juga arahan yang dikeluarkan oleh pentadbiran lalu supaya tanah dibeli di Paloh, Sembrong bagi tujuan pembinaan kem dengan harga 43 peratus lebih tinggi daripada nilaian semasa, iaitu RM10.47 juta bagi 62 ekar (24.8 hektar) tanah, sedangkan penilaian JPPH hanya RM7.28 juta saja,” katanya.
Mohd Nasaei berkata, kedua-dua projek itu diarahkan untuk dimulakan pembinaannya dalam keadaan kontrak antara pihak kerajaan kepada syarikat belum dimuktamadkan dan ditandatangani oleh kedua-dua pihak selain belum mendapat kebenaran merancang dan memasuki tapak dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), tetapi kedua-dua projek sudah dijalankan.
“Pelaksanaan kedua-dua projek ini juga menyebabkan kepentingan dan keselamatan anggota tentera serta matlamat untuk memperkukuhkan ketenteraan terabai.
“Pembinaan Kem 1 Briged di Port Dickson lebih diperlukan memandangkan kem sedia ada di Rasah sangat usang.
“Anggota tentera dipindahkan ke Kem Hutan Melintang dalam keadaan kem itu belum memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan selain matlamat utama untuk memperkukuhkan ketenteraan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dengan memindahkan anggota tentera dari Kem Tambun dan Kem Kamunting dibatalkan dan Kem Hutan Melintang itu hanya menempatkan sejumlah kecil Askar Wataniah,” katanya.
Sementara itu, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengalu-alukan siasatan ke atasnya dan pihak yang berkaitan berhubung dakwaan kerugian besar yang ditanggung Kementerian Pertahanan membabitkan 16 projek land swap di tanah milik kementerian itu.
Hishammuddin alu-alukan siasatan
Hishamuddin menerusi kenyataan di Facebook, berkata beliau tidak mempunyai sebarang perkara yang ingin disembunyikan.
Sementara itu di Kuala Lumpur, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan Kementerian Pertahanan bahawa kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga pertukaran tanah kementerian itu jika ada laporan.
“Sudah semestinya jika ada laporan dibuat, kita akan lihat jika ada tindakan dan perlu disiasat polis.
“Kalau lebih kepada unsur rasuah, pihak SPRM akan ambil tindakan,” katanya pada sidang media Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kuala Lumpur, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, semalam.
Terdapat campur tangan politik keterlaluan dan kecuaian tadbir urus dalam pelaksanaan kedua-dua projek ini yang menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan” Mohd Nasaei Ismail, Pegawai Tugas-tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan Sudah semestinya jika ada laporan dibuat, kita akan lihat jika ada tindakan dan perlu disiasat polis. Kalau lebih kepada unsur rasuah, pihak SPRM akan ambil tindakan” Noor Rashid Ibrahim, Timbalan Ketua Polis