KWAN bantu nelayan tidak upaya ke laut
Kerajaan jangka dapat laksana tahun ini: Salahuddin
Kerajaan akan memperkenalkan Kumpulan Wang Amanah Nelayan (KWAN) bagi membantu golongan nelayan yang tidak berkeupayaan turun ke laut.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayob, berkata model bantuan itu sedang diusahakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan dijangka dapat dilaksanakan pada tahun ini.
“KWAN adalah untuk membantu nelayan yang sudah bersara, mempunyai penyakit kronik sehingga tidak lagi berupaya.
Kumpul maklumat, data
“Kita sedang mengumpul maklumat dan data berapa jumlah golongan ini. Jika segala-galanya lengkap, kita dapat laksanakan pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Peringkat Negeri Kedah, di Kompleks LKIM Kuala Sala, di sini, semalam.
Pada majlis itu, Salahuddin turut melancarkan Bot Agrotourism Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah yang memberikan perkhidmatan membawa pelancong ke Pulau Payar, Langkawi.
Dapatkan bajet tambahan
Ketika berucap pada majlis itu, Salahuddin berkata, beliau akan mendapatkan bajet tambahan bagi membantu golongan petani dan nelayan.
Katanya, sebelum ini ada dakwaan mengatakan pihaknya menghentikan elaun sara hidup tetapi ia tidak benar kerana ia masih diteruskan.
“Kalau kurang sikit sabar dulu. Memang kurang, saya tidak bohong kerana bajet yang diberikan kurang berbanding tahun sebelumnya.
“Kami masih bagi dan ada bajet tambahan yang sedang diusahakan. Insya-allah dapat saya bagi lagi. Ini bukan janji tetapi tanggungjawab,” katanya.
KWAN adalah untuk membantu nelayan yang sudah bersara, mempunyai penyakit kronik sehingga tidak lagi berupaya. Kita sedang mengumpul maklumat dan data berapa jumlah golongan ini. Jika segala-galanya lengkap, kita dapat laksanakan pada tahun ini” Salahuddin Ayob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani