Liputan siaran langsung RTM patuhi SOP: Gobind
Badan penyiaran hanya siar ucapan PM pada majlis rasmi
Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjelaskan liputan siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM) ketika sambutan Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan di Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad lalu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata SOP RTM menyatakan dengan jelas bahawa apabila Perdana Menteri menghadiri sebuah majlis rasmi, hanya ucapannya akan disiarkan secara langsung melalui RTM.
Justeru, katanya, RTM tidak boleh dipersalahkan kerana tidak menyiarkan ucapan seorang menteri dan Menteri Besar Negeri Sembilan pada majlis terbabit, memandangkan Perdana Menteri turut hadir serta berucap pada majlis itu.
“Walaupun wujud SOP ini, masih ada ruang bagi pihak penganjur berbincang dengan RTM bagi membuat perubahan kepada perkara yang perlu disiarkan secara langsung pada sesuatu acara.
“Ini termasuk memberikan liputan secara langsung bagi individu lain, lebih daripada apa yang tertera dalam SOP, berdasarkan nilai berita bagi sesebuah acara itu.
Tiada permintaan dibuat
“Malangnya, dalam kes ini, tiada permintaan begitu dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Tambah beliau, mengikut SOP, RTM dilihat tepat dalam isu ini dan hanya menyiarkan ucapan Perdana Menteri secara langsung pada majlis itu.
Gobind berkata, beliau dimaklumkan acara siaran langsung itu dilakukan dengan persetujuan pihak penganjur, iaitu Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
“Saya juga tidak teragak-agak menegur sesiapa pun, dengan niat untuk memperbaiki perkhidmatan kami di RTM.
“Namun, dalam hal ini, RTM tidak melakukan kesalahan, sebaliknya bertepatan dengan yang sudah diatur dengan pihak penganjur dan SOP yang terpakai untuk majlis sedemikian,” katanya.
Galak kritikan membina
Tambah beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengalu-alukan kritikan membina, malah hak mengkritik dan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan yang memerintah adalah hak semua rakyat.
Sebelum ini, Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan, mendakwa RTM cuba mensabotaj kerajaan susulan stesen TV itu tidak menyiarkan ucapan Anthony Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, ketika sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan di Seremban.