Pendapatan Petron Malaysia naik 16 peratus
Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd meraih pendapatan RM12 bilion bagi 2018, meningkat 16 peratus berbanding RM10.4 bilion yang dicatatkan pada 2017.
Ia disokong oleh harga antarabangsa yang lebih tinggi dan pertumbuhan stabil dalam jumlah jualan.
Jumlah jualan dalam tempoh itu mencapai 35.5 juta tong, naik dua peratus daripada 34.9 juta tong yang dijual pada tahun sebelumnya.
Syarikat sudah menjalani penyelenggaraan berkala untuk Loji Penapisan Port Dickson pada Oktober yang mengurangkan pengeluaran produk eksport Residu Sulfur Rendah dan Naphtha.
Walaupun eksport turun, jualan domestik terutama dalam sektor runcit terus berkembang dalam tempoh berkenaan.
Syarikat menyifatkan trend positif dalam jualan runcit kepada permintaan yang meningkat untuk bahan api berprestasi tinggi seperti Blaze 100 Euro 4M dan Turbo Diesel Euro 5 yang dilengkapi dengan program kad kesetiaan Petron Miles yang lebih bermanfaat.
Pendapatan bersih untuk tahun dikaji ialah RM225 juta, 44 peratus lebih rendah daripada RM405 juta pada 2017.
Penurunan ini dapat dijelaskan menerusi kerugian bersih pada suku keempat sebanyak RM26 juta, pembalikan pendapatan bersih RM100 juta yang dicatat pada tempoh sama pada 2017.
Tumpu pengukuhan segmen bernilai tinggi
Dari trend menaik pada Julai hingga Oktober, harga Dated Brent turun secara mendadak pada November dan Disember.
Petron Malaysia menanggung kerugian inventori sehingga akhir tahun apabila harga jatuh hampir 30 peratus kepada AS$57 satu tong pada Disember daripada AS$81 satu tong pada Oktober.
Pada 2017, syarikat juga melaporkan keuntungan tidak berulang berjumlah RM65.6 juta daripada penjualan wajib stesen minyak oleh kerajaan.
Pengerusinya, Ramon S Ang, berkata walaupun persekitaran perniagaan yang mencabar, Petron Malaysia terus memberi tumpuan kepada pengukuhan segmen yang bernilai tinggi seperti runcit.
“Kami juga memberi keutamaan kepada program yang bertujuan untuk menjangkau lebih banyak pelanggan sambil meningkatkan pengalaman Petron Malaysia terus menambah bilangan stesennya pada 2018 kepada lebih dari 640 stesen bersama syarikat sekutu, Petron Fuel International Sdn Bhd dan Petron Oil (M) Sdn Bhd.