Woodland harapan The City Boys
Kuala Lumpur: Kehadiran Luke Woodland di benteng memberi nafas baharu buat Kuala Lumpur selepas posisi itu longgar yang menyebabkan gawang The City Boys bolos tujuh gol dalam hanya dua perlawanan.
Sebagai permulaan, Woodland yang dibawa masuk menggantikan Achmad Jufriyanto diharap mampu memperagakan aksi terbaik pada penampilan sulungnya menentang Terengganu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam ini.
Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah berkata, dia gembira kerana Woodland dapat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan walaupun baru menyertai pasukan.
“Sudah tentu saya harap kehadiran dia (Woodland) mampu memperkukuhkan semula benteng pasukan,” kata Yusri.
Persembahan matang
Kuala Lumpur tewas 1-3 kepada Pahang dalam aksi pembukaan sebelum empat kali gawang mereka bergegar ketika dibelasah Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-4.
Justeru, khidmat pemain Filipina berusia 23 tahun itu menjadi harapan Yusri untuk menjadikan benteng pasukan lebih kebal selepas lebih bergantung kepada pemain tempatan pada kedua-dua aksi itu.
“Jika saya senaraikan pemain tempatan, ia beri keyakinan kepada pasukan lawan. Tapi sekarang, saya harap kami dapat bertahan dengan lebih baik.
“Walaupun Woodland masih muda, persembahannya matang dan saya cukup gembira dengan permainannya,” katanya.