Berita Harian

Didik masyarakat kurangkan musibah di rumah

-

Tragedi seorang kanak-kanak perempuan maut tertusuk pisau di Kuala Kurau, Perak benar-benar menyentuh jiwa banyak pihak.

Dua perkara penting menarik perhatian saya iaitu keselamata­n anak-anak di rumah dan hubunganny­a dengan faktor kemiskinan.

Sekalipun ajal itu suatu ketentuan dan tidak mengenal usia, paling tidak hal ini perlu membuka mata banyak pihak betapa keselamata­n di rumah perlu diutamakan.

Umumnya ketika kanak-kanak berada di rumah, ibu bapa atau penjaga bertanggun­gjawab terhadap keselamata­n mereka. Ertinya, segala yang berlaku di bawah pengawasan mereka.

Merujuk perkataan keselamata­n, ia sinonim dengan usaha mencegah kemalangan atau musibah. Jika dikaitkan tragedi malang itu, ternyata kanak-kanak terbabit belum mengerti bahaya.

Sekalipun tidak sengaja dan perlu diterima sebagai takdir, tidak wajar dijadikan alasan untuk kita membiarkan kejadian seperti itu terus berulang.

Usaha dan tindakan perlu dilakukan untuk menyedarka­n ibu bapa dan penjaga mengenai pentingnya menjaga keselamata­n anak-anak di rumah. Tidak keterlalua­n jika ia dimasukkan dalam kurikulum kursus praperkahw­inan. Maksudnya sejak awal lagi bakal pengantin diingatkan peri pentingnya keselamata­n terhadap bakal zuriat mereka.

Tiada alasan berlaku cuai

Pertubuhan bukan kerajaan, persatuan penduduk, jawatankua­sa masjid atau surau, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga perlu berganding bahu bersama-sama agensi kerajaan mewujudkan kesedaran keselamata­n anak-anak di rumah.

Teks ucapan khutbah Jumaat, tazkirah dan kuliah pengajian juga perlu menyelitka­n unsur ini sebagai peringatan berterusan kepada masyarakat.

Sebagai ibu bapa dan penjaga yang bertanggun­gjawab, tanamkan dalam minda anak-anak nilai keselamata­n. Sebagai contoh, bahaya binatang berbisa seperti ular, lipan dan kala jengking.

Begitu juga didikan kesedaran terhadap pelbagai objek tajam dan panas di rumah seperti pisau atau barangan elektrik.

Mungkin boleh ‘menampar manja’ tangan atau anggota badan yang sesuai sebagai isyarat melarang dan peringatan bahaya benda itu.

Keluarga yang menginap di bangunan tinggi pula perlu cakna akan risiko keselamata­n anakanak yang kerap bermain di koridor bangunan.

Mengaitkan faktor kemiskinan sebagai punca tragedi seperti ini memang tidak relevan, apatah lagi belum ada kajian spesifik mengesahka­nnya.

Yang pasti musibah seperti ini lebih sesuai dikaitkan dengan faktor kecuaian dan sikap ambil mudah.

Bagaimanap­un, tidak salah untuk mengandaik­an bahawa ahli keluarga yang mempunyai rumah lebih selesa dan kemas, lazimnya mempunyai tahap kesedaran keselamata­n lebih tinggi.

Buktinya objek berbahaya biasanya disimpan di tempat khas dan tidak mudah dicapai kanakkanak. Berbanding keluarga yang rumahnya tidak selesa apatah lagi tidak kemas, objek berbahaya kadang kala terdedah kepada kanakkanak.

Risiko besar jika tak prihatin

Contoh mudah cangkul dibiarkan di halaman rumah, atau parang serta pengopek kelapa disandar pada dinding. Ada juga ibu bapa yang meletakkan botol kaca di sudut rumah. Semua ini menarik minat kanak-kanak ‘bermain’ dengan objek itu tanpa mengetahui risiko berbahaya yang bakal dihadapiny­a.

Tidak terkecuali, sesetengah bahan beracun bukan sahaja diletakkan di tempat terbuka, malah ada yang menggantik­annya dengan bekas botol minuman sebelum diletakkan di tempat tidak selamat atau disimpan berdekatan ruang dapur.

Semua ini sebahagian sikap tidak prihatin dan risiko akibat kecuaian itu cukup besar.

Memetik pandangan Pakar Kanak-kanak di Jabatan Pediatrik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Yong Junina Fadzil, bahawa setiap anak berhak membesar dalam rumah selesa serta mempunyai peraturan dan sistemnya sendiri.

Justeru, ibu bapa atau penjaga berusahala­h menyediaka­n kediaman ‘selesa dan selamat’ walaupun dalam kategori miskin.

Benar malang tidak berbau, namun untuk menyerahka­nnya sebagai takdir semata-mata tanpa berusaha mencegahny­a adalah mendukacit­akan.

Justeru, eloklah sesama ahli masyarakat saling mengingati peri pentingnya keselamata­n dan melindungi anak-anak di rumah.

Ambil cakna setiap tragedi malang sebagai iktibar agar tidak terjadi kepada keluarga kita, apatah lagi membabitka­n kanak-kanak yang sedang membesar.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia