Pesara nyaris ditetak penyerang berparang
Serdang: Seorang lelaki nyaris ditetak penyamun yang menyerangnya ketika berada dalam kawasan rumah di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara Puchong, dekat sini, petang kelmarin.
Detik cemas kejadian itu dikongsikan seorang anak lelaki terbabit dikenali sebagai Hazran Adli menerusi akaun Twitternya, @aranomilano, selain turut memuat naik tiga video yang dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mereka.
Rakaman itu turut viral di media sosial sejak malam tadi.
Menurut Hazran, kejadian berlaku ketika bapanya hendak memakir kereta di pekarangan rumah dalam keadaan pagar luar terbuka dan pada masa sama, suspek yang menunggang motosikal dilihat berlegar-legar di hadapan kediaman mereka.
Katanya, bapanya yang mendengar bunyi enjin motosikal segera berlari masuk ke dalam rumah dan dikejar suspek dipercayai bersenjatakan parang.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan jelas menunjukkan beberapa lelaki menunggang motosikal memberhentikan kenderaan di hadapan rumah terbabit sebelum dua daripada mereka mengejar mangsa yang meluru masuk ke dalam bagi menyelamatkan diri.
Salah seorang suspek kemudian menendang pintu sambil mengacukan senjata dipegangnya sebelum seorang lagi rakannya datang dan turut menendang pintu depan rumah terbabit.
Bocorkan tayar kereta
Dalam satu lagi rakaman video di dalam rumah, mangsa dilihat menahan pintu kayu dibantu anaknya sebelum semua suspek meninggalkan lokasi berkenaan, namun sebelum itu seorang daripada mereka sempat membocorkan tayar kereta menggunakan parang.
Menurut Hazran, semua ahli keluarganya selamat dalam kejadian terbabit dan laporan polis juga sudah dibuat keluarganya.
Katanya, polis turut membuat rondaan di kawasan kejiranan terbabit dan dia difahamkan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata ketika kejadian mangsa seorang pesara swasta berusia 56 tahun dikatakan mahu keluar dari rumah sebelum mendapati empat motosikal ditunggangi tujuh lelaki berlegar di kawasan terbabit.
Beliau berkata, dua suspek kemudian berlari ke arah mangsa dan terus masuk ke kawasan parkir rumah dengan membawa sebilah parang.
“Pengadu terus melarikan diri masuk ke dalam rumah dan bertindak menutup dan mengunci pintu kayu hadapan rumah.
“Kedua-dua lelaki berkenaan bertindak mengetuk pintu kayu dengan menggunakan parang sebelum memecahkan cermin pada bahagian tepi rumah serta membocorkan tayar kereta mangsa jenis Suzuki Swift,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Ismadi berkata, suspek melarikan diri selepas mangsa dan keluarganya menjerit meminta tolong.
Katanya, kejadian menyebabkan pintu dan cermin hadapan rumah mangsa rosak, selain kebocoran pada satu tayar kenderaannya.
“Siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati terdapat CCTV dan semakan sedang dibuat bagi mengenal pasti suspek.
“Tiada kecederaan dialami mangsa. Tindakan mengesan suspek kini giat dijalankan,” katanya yang menyiasat kes mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.