Berita Harian

Menyelam sebelum tilawah mantapkan kualiti bacaan

-

Kota Kinabalu: Berlatih mengawal pernafasan dan lontaran suara dengan menyelam di laut menjadi kunci kejayaan qari dari Semporna yang dinobatkan sebagai johan qari Tilawah al-quran peringkat negeri pada tahun ini.

Mohd Ayub Maidi, 32, yang juga imam kariah Masjid Kampung Sisipan, Pulau Bum-bum, berkata sebulan sebelum majlis tilawah, beliau berlatih di laut dengan menetapkan masa setengah jam setiap sesi latihan.

“Dalam tempoh sebulan itu, selama lapan kali saya berlatih mengawal pernafasan dan lontaran suara dengan menyelam di laut. Saya mengambil masa setengah jam dan memperuntu­kkan dua kali seminggu berlatih di laut.

“Alhamdulil­lah, kaedah itu membolehka­n saya mengawal pernafasan dan lontaran suara dengan baik ketika pertanding­an tilawah. Saya melakukan kaedah ini sejak dari awal pembabitan saya dalam arena Tilawah al-quran, iaitu ketika di sekolah menengah lagi,” katanya.

Kali kedua johan qari Sabah

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima anugerah qari negeri Sabah daripada Yang di-pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz al-quran peringkat negeri di Dewan Saadah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), di sini, malam kelmarin.

Ini kali kedua Mohd Ayub muncul johan qari peringkat negeri selepas tahun lalu, sekali gus mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan selain turut mewakili negara pada majlis tilawah antarabang­sa di Maldives pada tahun lalu.

Kedudukan kampung di kawasan pulau memberi kelebihan kepadanya untuk melakukan latihan menyelam sebagai langkah tambahan memperbaik­i kualiti bacaan selain amalan membaca al-quran secara berterusan.

Latihan berterusan dua jam sehari

“Ramai yang bertanya macam mana saya boleh melantunka­n nada suara yang tinggi, malah ada pihak di Semenanjun­g mahu menjalanka­n kajian mengenai kaedah yang saya amalkan.

“Bagi saya aktiviti menyelam memang sangat baik untuk kita berlatih cara pernafasan. Ini kerana, ketika menyelam kita perlu pandai menahan nafas dan apabila timbul di permukaan, kita lepaskan nafas bersama dengan suara melalui mulut.

“Ia sama dengan cara membaca al-quran bagi menghasilk­an lontaran suara yang baik supaya bacaan kita juga lebih lancar dan menepati hukumnya,” katanya.

Sementara itu, johan qariah, Nur Faten Izzati Rablin, 27, yang mewakili Kota Marudu, berkata beliau banyak berguru dengan bekas johan qari selain dibimbing ibu bapanya.

Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, berkata latihan membaca al-quran berterusan selama dua jam sehari juga menjadi amalannya bagi meningkatk­an kualiti bacaan sebelum tilawah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia