100 peratus penguatkuasaan
Kerajaan negeri turut boleh disaman jika projek cemari alam sekitar
Kerajaan negeri boleh berdepan tindakan saman Kerajaan Persekutuan sekiranya premis atau projek pembangunan di negeri masing-masing didapati menjadi punca pencemaran alam sekitar.
Tindakan itu antara pendekatan tegas Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan menerusi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata selain pengusaha kilang atau industri, Kerajaan Pusat mahu memastikan kerajaan negeri yang terbabit dalam pencemaran juga dikenakan tindakan serta dikenakan sebanyak mungkin pertuduhan mengikut undang-undang sedia ada.
“Ya, kita juga nak buat (saman kerajaan negeri). Sekarang kita kaji, kalau projek di bawah kerajaan negeri, kita juga akan saman.
“Suku pertama ini, kita fokus kepada kilang kitar semula plastik dan selepas itu SOP (prosedur operasi standard) akan ikut semua kilang dan industri termasuk premis kerajaan negeri.
Pastikan patuhi peraturan ditetapkan
“Jadi, saya akan jadi orang yang tak baik..bad cop. Kita kena pastikan orang takut kepada undang-undang. Apa guna undang-undang kalau tak kuat kuasa undang-undang,” katanya dalam temu bual khas dengan BH.
Mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mereka yang disabitkan kesalahan berkaitan pelbagai kesalahan pencemaran alam sekitar termasuk berkaitan kualiti udara, pembakaran terbuka, pencemaran bunyi, pencemaran air dan daratan yang membawa hukuman denda antara RM100,000 hingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun.
Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, langkah melipatgandakan penguatkuasaan itu juga adalah kesinambungan kepada manifesto Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu mewujudkan kelestarian alam sekitar.
Sehubungan itu, pihaknya menetapkan sasaran 100 peratus langkah penguatkuasaan bagi menangani masalah pencemaran tahun ini.
“Kita bersungguh-sungguh mahu menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling. Dahulu, kalau anda mencemarkan alam sekitar, anda tak takut kerana penguatkuasaan tidak ada.
“Penguat kuasa pun tak tahu (kes pencemaran alam sekitar) atau dapat bagi sikit (rasuah), selesai kes. Jadi, (kali ini) kita mahu meningkatkan penguatkuasaan,” katanya.
Bee Yin berkata, ketika ini, pihaknya masih berbincang dengan pihak pendakwaan dan Pejabat Peguam Negara untuk memastikan mereka yang terbabit mencemarkan alam sekitar dikenakan sebanyak mungkin pertuduhan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata, sebelum ini mereka yang didapati mencemarkan alam sekitar biasanya hanya dikenakan satu atau dua pertuduhan saja.
Peruntukan sedia ada cukup
Malah, beliau mengakui peruntukan undang-undang sedia ada sudah cukup tetapi langkah penguatkuasaan masih tidak cukup kuat sehingga menyebabkan ada pihak yang terlepas daripada dikenakan tindakan.
“Kita ada banyak akta tapi jentera (penguatkuasaan) tidak cukup, tidak kuat, proses tidak cukup menyebabkan tahun ini kita mahu proses dijalankan 100 peratus, kita boleh capai sasaran ini.
“Sebab itu kita tetapkan KPI (petunjuk prestasi utama). Dulu tidak ada kehendak untuk buat,” katanya.
Bee Yin tidak menafikan, antara kes pencemaran yang akan dikenakan tindakan ialah membabitkan kawasan pelupusan sampah, terutama pusat pelupusan sampah yang sudah penuh
Kita bersungguhsungguh mahu menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekitar. Dahulu, kalau anda mencemarkan alam sekitar, anda tak takut kerana penguatkuasaan tidak ada” Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar
Ikuti temu bual khas bersama Bee Yin di Ms.12/13