Tabung Bencana NSTP-MEDIA Prima bantu salur sumbangan
Mangsa banjir guna baucar tunai ditukar bahan keperluan
Tabung Bencana NSTP-MEDIA Prima menyampaikan sumbangan baucar tunai kepada 1,214 keluarga membabitkan 3,401 penduduk yang terjejas banjir di daerah ini, bulan lalu.
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt menerima sumbangan itu bagi pihak penduduk daripada Ketua Komunikasi Korporat The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Wan Abdillah Wan Nawi, di Dewan Terbuka Pekan Tandek dekat sini, semalam.
Menerusi sumbangan itu, setiap keluarga menerima baucar tunai bernilai RM150 yang boleh ditukar dengan barangan keperluan di pasar raya Servay dengan keseluruhan nilai sumbangan diserahkan ialah RM182,100.
Tien Fatt berkata, sumbangan itu sangat membantu penduduk yang terjejas dan beliau berharap kerjasama bagi membantu rakyat yang memerlukan bantuan kemanusiaan dengan kumpulan Media Prima dapat diteruskan pada masa depan.
Bantuan lalu tak cukup
“Ketika banjir lalu, Jabatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah membelanjakan RM133,690 untuk makanan basah, kering dan keperluan lain kepada mangsa banjir di pusat pemindahan.
“Ini tidak mencukupi dan saya harap pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan seperti mana program dianjurkan Media Prima,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Yang turut hadir, Pegawai Daerah Kota Marudu, Arnold Joibi dan Pengarah JPKA Sabah, Mujin Durin.
Sementara itu, Wan Abdillah berkata, baucar tunai itu adalah hasil sumbangan orang ramai melalui Tabung Bencana NSTP-MEDIA Prima yang diwujudkan sejak 2009.
“Kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban penduduk yang terjejas banjir bulan lalu, terutama membeli barangan keperluan dapur.
“Media Prima mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas sumbangan untuk menjayakan misi ini,” katanya.
Banjir di daerah ini hujung bulan lalu mengakibatkan lebih 3,00 penduduk daripada 27 kampung terjejas dengan lebih 2,500 orang terpaksa dipindahkan ke 12 pusat pemindahan sementara.
Ringan beban
Sementara itu, penduduk Kampung Tandek, Rosmayati Ismail, 29, berkata banjir bulan lalu menyebabkan rumahnya yang terletak di kawasan rendah dinaiki air lebih satu meter.
“Saya bersama suami dan tiga anak terpaksa tinggal dua malam di pusat pemindahan sementara dan kami berterima kasih atas sumbangan ini yang dapat meringankan beban membeli barang keperluan,” katanya.
Orang ramai yang mahu menyumbang kepada Tabung Bencana NSTP-MEDIA Prima boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 5141-0532-0757.