Tolong padam video, gambar arwah: Isteri
Kenderaan bawa diesel dikatakan merempuh lori di lorong kecemasan
“TArwah keluar rumah pergi kerja kira-kira jam 6 pagi tadi (semalam) dan dia tidak menunjukkan apa-apa perubahan” Khatijah Abdul Karim, Isteri mangsa
olonglah padam video dan gambar arwah di tempat kejadian,” rayu Khatijah Abdul Karim, 36, isteri kepada Allahyarham Mohamad Suhaimi Khamis, 38, pemandu lori tangki yang maut dalam kemalangan di Kilometer 372 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, jam 9 pagi semalam.
Khatijah berkata, dia mendapat berita mengenai kemalangan itu daripada adik arwah yang menghubunginya tidak lama selepas kemalangan itu dilaporkan media dan tersebar di media sosial.
“Arwah keluar rumah pergi kerja kira-kira jam 6 pagi tadi (semalam) dan dia tidak menunjukkan apa-apa perubahan,” katanya yang kelihatan lemah ketika ditemui di Hospital Slim River di sini, semalam.
Isteri sarat mengandung
Khatijah yang kini sarat mengandung tujuh bulan anak keempat, dikurniakan tiga anak termasuk kembar Mohd Ammar dan Mohd Amir berusia sembilan tahun serta anak perempuan, Afikah berusia lapan tahun.
Seorang saudara terdekat Rokiah Mohamad, 68, berkata sejurus menerima berita menimpa arwah dia bersama isteri serta anak-anak mangsa segera bertolak ke Hospital Slim River dari rumah mereka di Puchong, Selangor.
Katanya, ahli keluarga setuju membawa jenazah pulang untuk dikebumikan di Kampung Kenangan Batu 13, Puchong.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata pada jam 9.05 pagi pihaknya dimaklumkan mengenai satu kemalangan maut dan terbakar di tempat kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan tiga lori. Sebuah lori membawa muatan besi berhenti di lorong kecemasan kerana ada masalah brek angin manakala sebuah lagi dari syarikat sama berhenti untuk membantu.
Sebaik selesai, kedua-dua pemandu masuk ke lori masing-masing untuk meneruskan perjalanan apabila seorang pemandu berkenaan melihat sebuah lori tangki bergerak dari laluan tengah terus ke lorong kecemasan.
Lori tangki itu kemudian melanggar belakang lori kedua menyebabkan lori berkenaan merempuh pula belakang lori pertama yang berhenti di lorong berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Lori tangki terbakar
“Akibat pelanggaran itu lori tangki muatan diesel itu terbakar dan merebak ke lori yang dirempuhnya.
“Lori yang berada di hadapan sekali tidak terbakar dan pemandu kedua-dua lori muatan besi tidak cedera,” katanya.
Wan Kamarul Azran berkata, susulan kejadian itu lalu lintas sesak sepanjang lebih empat kilometer dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut.