Jalan Changkat hab penginapan hipster
Banyak hotel bajet, lokasi strategik menyenangkan pelancong
Selain Jalan Bukit Bintang yang menjadi nadi kota metropolitan Kuala Lumpur serta sinonim dengan gaya hidup masyarakat bandar, mungkin ramai terlepas pandang kenapa Jalan Changkat mempunyai pelbagai tarikan, terutama kepada pelancong asing.
Selain lokasi strategik, tempat ini menjadi tumpuan pelancong pelbagai negara seluruh dunia, kemeriahan suasana dapat dirasai baik siang mahupun malam.
Laluan pejalan kaki di sepanjang Jalan Changkat sejauh satu setengah kilometer sentiasa dilimpahi lampu neon berwarna-warni daripada deretan kedai makan dan minuman kiri serta kanan jalan menjelang dinihari.
Dikelilingi bangunan hotel bertaraf lima bintang, Jalan Changkat memiliki keistimewaan terus menjadi pilihan pelancong yang bercadang menginap pada tempoh lebih lama.
Selain lokasi strategik, penginapan murah menjadi pilihan. Kemudahan hostel bertaraf dorm boleh disewa pada harga bermula RM25 sehari khususnya bagi tetamu ‘backpacker’.
Banyak hotel bajet
Kakitangan Serenity Hostel, Usama Amjad, berkata lokasi strategi dengan kemudahan pada harga berpatutan antara faktor lokasi itu menjadi sasaran pelancong yang ingin menginap lebih lama.
Beliau berkata, memilih penginapan bertaraf hostel atau hotel bajet lebih jimat berbanding kemudahan hotel biasa dengan harga jauh lebih tinggi.
“Banyak kemudahan dan tidak terlalu padat berbanding tempat lain di tengah Bukit Bintang, Jalan Changkat pilihan terbaik untuk mereka yang ingin menikmati suasana malam di Kuala Lumpur.
“Tempat ini juga selamat anggota keselamatan sentiasa menjalankan rondaan,” katanya.
Usama berkata, kebanyakan pelancong menempah bilik untuk tempoh 10 hari hingga lebih sebulan. Begitupun ada juga yang tinggal satu hari saja semata untuk berjalan-jalan di sekitar Jalan Changkat itupun tidak ramai.
“Walaupun Jalan Changkat turut mempunyai banyak hostel atau hotel bajet, disebabkan lokasi hostel itu berada betul-betul di jalan utama, ia sering menjadi pilihan pelancong.
“Di sini kami menyediakan penginapan berkonsepkan dorm berhawa dingin. Terdapat 43 katil dengan setiap dorm mempunyai antara enam, hingga 10 katil.
“Bangunan dua tingkat ini dilengkapi enam tandas termasuk bilik mandi, ruang bacaan, internet percuma, dapur dan ruang penyimpanan barang peribadi. Tempahan penginapan juga boleh dibuat secara dalam talian,” katanya.
Serba lengkap
Pelancong Amerika Syarikat,
Ian Barnett, 31, berkata beliau selesa menginap di sini kerana tidak terlalu sibuk dan pilihan yang murah serta lengkap kemudahan di kawasan sekitar.
Katanya, infrastruktur cukup memuaskan dengan kedai serbaneka dan restoran makanan daripada pelbagai menu antarabangsa banyak disediakan di sini.
“Saya hanya perlu berjalan kaki untuk ke kawasan berhampiran untuk membeli barangan keperluan harian.
“Ini kali kedua saya ke Kuala Lumpur dan terus memilih menginap di Jalan Changkat. Kali pertama berkunjung ke Malaysia, memilih hotel di Bukit Bintang dan memang harganya agak mahal. Namun kali ini memilih tinggal lebih lama dan rasanya hostel sudah memadai dengan kehadiran saya bersendirian.
“Apa yang penting bagi saya adalah persekitarannya tenang dan selamat. Tidak perlu ke tempat lain kerana di sini sangat berbaloi bagi saya,” katanya yang berhasrat berkunjung lagi ke sini.