Penangan sajian pedas ekstrem
Bagi penggemar sajian makanan pedas, semakin berapi tahap kepedasan, makin membangkitkan selera. Biarpun sudah diminta ekstra pedas daripada biasa, hirisan cili potong tetap menjadi pelengkap hidangan.
Melihat kecenderungan ramai menggemari sajian pedas, banyak premis makanan mengetengahkan makanan seumpama itu bagi memenuhi selera pelanggan.
Tidak terkecuali restoran ayam goreng, 4Fingers tampil dengan menu khusus untuk musim perayaan tahun baharu di 14 cawangannya di Kuala Lumpur, Pulau
Pinang dan Johor Bahru.
Menariknya sos istimewa, Firecracker Chicken, menu edisi terhad hanya disajikan dalam tempoh terhad, iaitu hingga penghujung bulan ini.
Campuran rempah dan sos istimewa diadun bersama pilihan rempah segar seperti jintan dan lada Szechuan, membuatkan ayam goreng lebih rangup dan empuk.
Kajian istimewa
Kekal sebagai sajian istimewa, bahagian kepak dan paha, set hidangan Firecracker Chicken boleh ditambah dengan sajian sampingan, iaitu kentang goreng berperisa kimci mahupun rumpai laut.
Sos dan ramuan sapuan untuk menu ini adalah sentuhan cef selebriti, Bjorn Shen. Hidangan boleh dinikmati pada harga bermula RM15 untuk hidangan pilihan, manakala RM19.70 sajian set.
Cef kelahiran Singapura dengan 14 tahun pengalaman dalam dunia kulinari, adalah personaliti yang tidak asing dalam industri makanan dan minuman.
Pemilik restoran popular di negara jiran itu, Artichoke menghasilkan salutan rempah yang enak, gandingan unik rempah yang memberikan rasa kari yang enak.
“Saya berani mengatakan tahap kepedasan yang tinggi berbanding resipi ayam goreng rangup lain, khusus untuk penggemar makanan pedas,” katanya.