Panduan penjagaan elak kes buang bayi
Kuala Lumpur: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyediakan pelan pembangunan dan Modul Keibubapaan Anak Kecil Belaian Kasih untuk anak berumur empat tahun ke bawah.
Ketua Pengarahnya, Abdul Shukur Abdullah, berkata modul berkenaan memberi penekanan terhadap penjagaan bayi, keselamatan dan kesihatan, termasuk pemakanan serta cara memandikan bayi dengan betul.
Atasi pelbagai isu
Beliau berkata, program berkenaan diperkenalkan sejajar bagi mengekang kes pembuangan bayi atau ditempatkan serta dibesarkan di rumah kebajikan.
“Kajian LPPKN dari aspek kaunseling dan psikologi kanak-kanak mendapati banyak perbezaan dari aspek kehidupan, sosial dan kesihatan.
“Anak yang dibuang perlu membesar dengan penuh kasih sayang dalam sebuah keluarga yang bersistem dan suasana kekeluargaan kondusif,” katanya kepada BH.
Kukuhkan institusi perkahwinan
Beliau berkata, kursus keibubapaan untuk ibu bapa angkat, umpamanya antara jalan penyelesaian bagi membantu pasangan yang ingin mengambil anak angkat mencurahkan kasih sayang kepada insan memerlukan.
“Dengan adanya pengambilan anak angkat, LPPKN berharap pasangan suami isteri berkenaan dapat mengukuhkan lagi perkahwinan mereka dengan kehadiran cahaya mata walaupun bukan daripada darah daging sendiri,” katanya.