Perancangan, pengurusan harta dalam Islam
Perancangan dan pengurusan sangat mustahak dalam semua urusan lebih-lebih berkaitan harta. Kegagalan membuat perancangan harta atau kewangan dikenal pasti antara punca manusia terperangkap dengan pelbagai masalah.
Orang yang ada perancangan menguruskan kewangan akan memperoleh gambaran lebih jelas mengenai kedudukan kewangan terkini dan mengetahui hala tuju tepat matlamat kewangan yang akhirnya membolehkannya mencapai matlamat lebih efektif.
Perancangan masa depan menjadi sebahagian kewajipan terutama jika berkeluarga dan ingin membeli rumah, kereta atau mempunyai wang cukup untuk menghantar anak ke universiti serta hidup selesa sewaktu bersara. Ramai tidak menyedari langkah pertama untuk jaminan adalah mengekalkan apa dimiliki dan melabur untuk masa depan.
Nampak mudah, tetapi ramai gagal menabung dan melabur. Oleh itu, ilmu pengurusan harta perlu difahami masyarakat.
Wasilah capai reda Allah
Harta ada kedudukan mulia di sisi Islam hingga umatnya digalakkan berusaha memiliki, menghasil dan menggunakannya secara bijaksana. Dari kaca mata Islam, ia alat menjamin keselesaan hidup dan kebahagiaan akhirat, sekali gus wasilah mencapai reda Allah SWT.
Harta perlu diurus secara sempurna berdasarkan empat peringkat bermula cara memperoleh, mengagih, melindung dan mengagih semula. Pertama, perolehan atau pengumpulan kekayaan merangkumi bagaimana perancangan individu menambah harta seperti bagaimana berusaha dalam bekerja, berniaga dan melaburkan sumber kewangan yang ada.
Kedua, pengagihan ialah perancangan individu membelanjakan harta diperoleh dan dikumpul. Ketiga, konsep perlindungan harta dihurai sebagai perancangan individu dalam mengekalkan hartanya. Keempat, pengagihan semula membabitkan apa pendekatan individu dalam mengalirkan semula harta kepada pihak sepatutnya.
Harta ialah amanah Allah SWT yang perlu diuruskan kerana dikira kurniaan dan hendaklah dimanfaatkan untuk kebaikan semua pihak, sekali gus mengikut peraturan serta hukum ditetapkan. Apabila amanah itu ditunaikan, kita akan berlapang dada dan beroleh ketenangan walau dalam apa keadaan kerana bahagia sebenar hanya hadir selepas melihat orang di sekeliling gembira.
Sekiranya ada matlamat jelas, kita perlu mempunyai perancangan kewangan bijak yang akan memastikan kita membuat belanjawan perbelanjaan dan pendapatan. Perancangan kewangan Muslim sebaiknya merangkumi simpanan perbelanjaan di dunia serta tabungan saham akhirat melalui amalan sedekah, wakaf dan zakat.
Risiko kewangan susut
Kita perlu banyak ‘memberi’ kerana ia ketenangan jiwa. Ramai yang lupa harta diperoleh adalah milik Allah SWT yang hanya dipinjamkan untuk diuruskan sebaiknya dan akan disoal di akhirat.
Isu kos hidup yang tinggi menjadi tajuk utama akhbar dan media sosial. Kes kemalangan dan jenayah meningkat hingga kita semakin terdedah kepada risiko yang mengakibatkan kewangan susut bila-bila masa.
Dalam merancang pengurusan risiko, jadilah orang lebih bijak dengan memilih Pelan Perlindungan Takaful sebagai resipi perancangan dan pengurusan risiko. Masyarakat perlu menitikberatkan soal perancangan kewangan dan pengurusan risiko masa depan lebihlebih lagi membabitkan soal kewangan.
Kini, pengendali takaful giat membangunkan produk komprehensif untuk melindungi risiko dihadapi masyarakat terutama kematian dan kecacatan kekal. Ia direka dengan pelbagai tujuan sama ada meringankan beban kewangan keluarga, melangsaikan hutang ataupun pengganti kepada sumber pendapatan. Begitu juga kos rawatan tinggi hingga terpaksa menggadai harta dalam usaha menyelamatkan orang tersayang.
Harta dan zuriat ialah ujian Allah SWT kepada manusia sama ada akan bersyukur atau sebaliknya. Firman Allah SWT: “Dan ketahuilah hartamu dan anak-anakmu hanya sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah pahala yang besar.” (Al-munafiqun: 9)